DAP tak akan terima Umno, muktamad
KUALA LUMPUR - DAP tidak akan bekerjasama dengan Umno dan keputusan itu adalah muktamad.
Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, tiada ruang untuk bekerjasama kerana Umno telah menentang DAP habis-habisan pada PRU14.
Menurutnya, DAP juga meminta rakyat menolak mereka dan rakyat telah berbuat demikian dengan hasrat membina Malaysia Baru.
“Kami tidak seharusnya sekarang kerjasama dengan mereka. Soal bekas wakil rakyat BN menyertai PH harus diperhalusi dengan teliti.
“Mandat rakyat perlu dihormati. Agenda reformasi dan pemulihan negara perlu diberikan keutamaan.
“PH perlu menjaga kepentingan rakyat yang telahpun meletakkan kepercayaan kepada PH untuk membersihkan dan menyelamatkan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Puchong itu, perkara tersebut (PH terima bekas pemimpin BN) akan diangkat dan dibincangkan di mesyuarat PH dalam masa terdekat.
Keputusan Bersatu menerima bekas pemimpin Umno menyertai mereka kurang digemari beberapa pemimpin PH terutamanya dari DAP.
Malah, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya baru-baru ini turut menegaskan parti tersebut tidak akan menerima bekas pemimpin Umno menyertai mereka.
Begitupun, di kem Bersatu ia agak berbeza kerana setakat ini beberapa bekas pemimpin Umno diterima ke dalam parti itu termasuklah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan terbaru Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!