Anwar cadang hubungan ekonomi lebih mendalam antara ASEAN dan AS
JAKARTA - Hubungan ekonomi yang lebih mendalam perlu diwujudkan antara ASEAN dan Amerika Syarikat, khususnya dalam perjanjian rangka kerja perdagangan dan pelaburan, serta libat urus ekonomi yang lebih meluas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu berucap mencelah di sesi Persidangan Kemuncak ASEAN-AS di Jakarta pada Rabu berkata, itu antara cadangan Malaysia tentang bagaimana hubungan dua hala tersebut dapat diangkat ke peringkat seterusnya.
Selain itu, Anwar berkata, Malaysia berpandangan ASEAN memerlukan sokongan pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih tinggi bagi tujuan membawa industri mikro, kecil, dan sederhana (MSME) ke peringkat global.
“ASEAN perlu menyokong dan memudahcara FDI, meletakkan MSME ke peringkat global, menyokong pertumbuhan hijau untuk kemampanan iklim, serta penggunaan tanah yang optimum untuk keterjaminan makanan,” katanya lagi.
Dalam Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-11 itu, Amerika Syarikat diwakili oleh Naib Presiden, Kamala Harris.
Terdahulu dalam ucapannya, Harris berkata, Pentadbiran Biden-Harris 2024 telah memohon dana AS$1.2 bilion bagi tujuan ekonomi, pembangunan, bantuan keselamatan untuk negara-negara ASEAN, selain tambahan AS$90 juta untuk mengadakan libat urus dan mengukuh institusi ASEAN.
"Bertitik tolak dari kejayaan Persidangan Khas AS-ASEAN 2022 di Washington DC, sumber ini bertujuan untuk menyokong pelaksanaan ASEAN Outlook bagi Indo-Pasifik, dan memastikan kerjasama dua entiti ini dapat menghasilkan manfaat yang konkrit untuk rakyat di Asia Tenggara, Amerika Syarikat, dan di Indo-Pasifik," katanya lagi.
Dalam pada itu Anwar berkata, Malaysia menggalakkan perkongsian antara ASEAN dan AS dalam memajukan transformasi digital di rantau ini, memasukkan kesalinghubungan dan keterangkuman infrastruktur digital, 5G, dan juga polisi dan pengaturan data digital.
Dalam ucapannya, Anwar berkata, ASEAN telah mensasarkan pengeluaran 23 peratus tenaga bersih daripada keseluruhan menjelang 2030, dan rantau ini menghargai bantuan dari AS untuk mencapai tujuan tersebut.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengalu-alukan pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-AS dalam menggerakkan Unjuran ASEAN bagi Indo-Pasifik, sempena Persidangan Kemuncak ASEAN ke-43 itu.
Beliau berkata, perkongsian tersebut amat kritikal, untuk negara ASEAN yang komited melaksanakan prinsip demokratik dan ketelusan. - Awani
ARTIKEL BERKAITAN:
Sidang Kemuncak ASEAN: PM tekankan keamanan, kestabilan dan multilateralisme
Jokowi mempengerusikan siri mesyuarat ASEAN dengan rakan kongsi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!