Penularan Covid-19 jejas saringan awal kesan kanser - NCSM
MELAKA - Penularan Covid-19 yang berlaku lebih tiga tahun lepas menyebabkan kebanyakan pesakit kanser sukar mendapatkan saringan, sekali gus menyebabkan mereka gagal mengesan penyakit dihidapi pada peringkat awal.
Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M. Murallitharan berkata, situasi itu berlaku ekoran pelbagai faktor termasuk kekangan untuk mendapatkan saringan dan rawatan di hospital dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata, kebanyakan pesakit merupakan mereka yang menghidap kanser payudara khususnya golongan wanita selain kanser usus besar dalam kalangan lelaki dan wanita.
"Sejak penularan Covid-19, kita dapat melihat penjejasan ketara dari aspek pengesanan awal kanser dalam kalangan rakyat di negara ini berbanding sebelum Covid-19.
"Sebagai contoh, kira-kira 90 peratus pesakit kanser yang saya rawati atau jumpa telah berada pada tahap tiga atau empat dan situasi ini amat membimbangkan," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Klip Video Lagu '’Saya Anak Malaysia" bersama Pemandiri Kanser NCSM di sini hari ini.
Turut hadir, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan penulis lirik yang juga penyanyi lagu "Saya Anak Malaysia" Dr Sam Rasputin.
Murallitharan berkata jumlah pesakit kanser yang lewat mengesan barah dihidapi mereka dijangka meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang dan usaha proaktif perlu dilaksanakan bagi memberikan akses saringan awal kepada rakyat di negara ini di pelbagai peringkat antaranya komuniti dan agensi kerajaan.
Beliau berkata justeru, NCSM giat melaksanakan program saringan awal untuk rakyat terutama di kawasan pedalaman selain menganjurkan lebih banyak program kesedaran berkaitan kanser dan saringan awal agar penyakit berkenaan dapat dirawat di peringkat awal.
Katanya, pesakit kanser usus besar juga dilihat agak meningkat sejak kebelakangan ini terutama melibatkan individu lelaki seawal usia 40-an berbanding 50-an sebelum ini.
Terdahulu, beliau berkata klip video lagu "Saya Anak Malaysia" berdurasi 3.48 minit yang dihasilkan selama tiga minggu itu melibatkan penyertaan lebih 60 sukarelawan dan pemandiri kanser dari Melaka, Kuala Lumpur, Kedah dan Perak.
Murallitharan berkata, klip video lagu berkenaan dibuat bersempena dengan Hari Kebangsaan dan bertujuan menyuntik semangat dalam kalangan pemandiri atau pesakit kanser di negara ini agar bersatu menentang kanser yang dihidapi mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!