Sedia SOP baharu pengambilan bomba wanita: Zuraida
IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia diminta untuk menyediakan prosedur operasi standard (SOP) baharu dalam pengambilan wanita sebagai anggota pasukan itu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kes-kes melibatkan latihan kaunseling, pengendalian emosi dan program-program pencegahan kebakaran dalam kalangan suri rumah memerlukan sentuhan anggota wanita.
Menurutnya, ujian kelayakan fizikal seperti memanjat tali menjadi kekangan untuk wanita meneruskan kerjaya sebagai anggota bomba.
“Saya memaklumkan kepada Ketua Pengarah (JBPM) bulan lalu dan beliau kena menyediakan SOP baharu dalam pemilihan atau pengambilan anggota wanita. Ia dalam persediaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program bersama warga JBPM Perak di Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman.
Zuraida berkata, hanya 5 peratus daripada 14,000 anggota bomba seluruh negara terdiri golongan wanita.
“Peluang pekerjaan terbuka namun, wanita kurang memohon kerana mereka menyangkakan tugas ini memerlukan fizikal dan lasak seperti panjat bangunan dan sebagainya.
“Mungkin mereka berpandangan tugas itu tidak sesuai dengan mereka.
"Jadi yang ini harus kita beritahu bahawa ada jawatan-jawatan tertentu yang sesuai untuk wanita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!