Sukan Asia kayu ukur pencapaian di Paris 2024

Mohamad Norza pada sidang media di Majlis Penyerahan Watikah Pemilihan Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia ke-19 Hangzhou hari ini. - Foto Bernama
Mohamad Norza pada sidang media di Majlis Penyerahan Watikah Pemilihan Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia ke-19 Hangzhou hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TEMASYA Sukan Asia Hangzhou 2022 mulai 23 September hingga 8 Oktober ini menjadi kayu pengukur prestasi atlet Malaysia menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, ia lebih-lebih lagi untuk sukan seperti badminton dan berbasikal memandangkan peringkat Asia hampir bertaraf dunia.

Beliau berkata, memandangkan Sukan Asia diadakan dalam tempoh kelayakan Olimpik selepas ditangguhkan setahun akibat pandemik Covid-19, atlet khususnya yang berada dalam program Road to Gold (RTG) akan berjuang supaya perbelanjaan kerajaan terhadap mereka benar-benar bermanfaat dan kekal dalam program berkenaan.

"Ini akan menjadi bayangan atau penanda aras apa yang akan berlaku di Olimpik. Untuk badminton, tiada banyak beza antara Sukan Asia atau Olimpik, cuma dibezakan dengan tiada penyertaan Denmark,” katanya pada sidang media selepas majlis Penyerahan Watikah Kontinjen Malaysia ke Hangzhou di sini hari ini.

Bagi hoki, berdasarkan undian, Mohamad Norza percaya Hangzhou 2022 merupakan peluang keemasan untuk memperoleh tiket ke Olimpik dengan memenangi emas sekali gus meningkatkan jumlah penyertaan kontinjen negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

"Apabila kita ada kontinjen lebih besar, kita akan menerima lebih banyak perhatian daripada IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) dari segi penyertaan,” katanya.

Mohamad Norza menegaskan Sukan Asia bukan medan untuk pendedahan sebaliknya medan untuk atlet berprestasi tinggi bersaing dengan atlet handalan benua.

Berdasarkan kemas kini terbaharu, seramai 289 atlet dan 145 pegawai akan mewakili Malaysia dalam Sukan Asia Hangzhou 2022.

Artikel Berkaitan:

Malaysia akan menyertai 22 daripada 40 jenis sukan yang dipertandingkan termasuk terjun, badminton, berbasikal, ekuestrian, gimnastik, hoki, karate, memanah, skuasy, olahraga, taekwondo, e-sukan, tinju dan wushu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!