KPN terkejut SB dihalang hadiri sidang media Warisan
SHAH ALAM - "Terkejut juga saya bila membaca aduan ini. Pegawai-pegawai polis yang bertugas di lapangan bukannya musuh kepada mana-mana pihak," kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.
Memetik laporan Malaysiakini, Abd Hamid berkata demikian ketika mengulas tentang aduan yang mengatakan parti Warisan menghalang pegawai polis Cawangan Khas (SB) daripada menghadiri sidang akhbar yang diadakan parti itu di Sabah.
Menurutnya, Objektif penugasan mereka, sama ada dengan beruniform ataupun tidak, adalah untuk menjaga keamanan dan keselamatan sesuatu premis atau majlis.
Ketika ditanya sama ada tindakan parti itu boleh disifatkan sebagai menghalang kerja polis, Abdul Hamid secara ringkas berkata, mungkin ada salah faham. Dalam pada itu, Abdul Hamid menegaskan pasukan polis sama ada beruniform ataupun tidak boleh ditugaskan di mana mana tempat atau sesuatu majlis awam bagi tujuan menjaga keselamatan dan keamanan.
"Jika sesuatu parti politik mengadakan aktiviti umum di premis parti itu sendiri, PDRM pun rasa tidak perlu untuk menugaskan anggotanya, buang masa dan tenaga," katanya.
Kelmarin, sebuah portal media melaporkan bahawa pemimpin kanan Warisan mengesahkan bahawa parti itu telah memutuskan untuk menghalang polis SB daripada menghadiri sidang media mereka.
Polis SB biasanya bertugas tanpa memakai uniform polis dan antara tugasannya adalah melakukan risikan serta meneutralkan ancaman sebelum dan semasa majlis yang melibatkan pegawai tinggi kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!