Bersaing dengan 'scalper', Sharnaaz Ahmad luah rasa tidak puas hati

Sharnaaz berharap pihak JPJ dapat membuat sesuatu terhadap sistem JPJeBid.
Sharnaaz berharap pihak JPJ dapat membuat sesuatu terhadap sistem JPJeBid.
A
A
A

PELAKON Sharnaaz Ahmad meluahkan rasa kecewa terhadap sistem bidaan nombor plat menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu JPJeBid dan 'scalper' atau pembeli hantu yang disifatkan menyusahkan orang lain.

Jelas Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 38, kebanyakan rakyat Malaysia yang berminat untuk mendapat nombor plat idaman mereka perlu membida nombor tersebut menerusi JPJebid, tetapi dipintas oleh sekumpulan scalper.

Apa yang membuatkan aktor yang terkenal dengan panggilan Mamu itu berang adalah scalper terus bertindak menjual nombor tersebut dengan harga yang jauh lebih tinggi tidak lama selepas memenangi nombor tersebut.

"Mamu dah lama nak cakap fasal benda ini, tapi tidak terkeluar.

Hari ini (Rabu) dan semalam buatkan mamu panas hati dengan sistem JPJeBid ini.

"Sistem hangpa (kamu) terlampau.

"Bila buat aduan, mereka suruh masuk lebih awal, tapi masuk awal pun, pukul 10 malam tutup bidaan, 9 malam sistem dah jammed.

Scalper ini pakat masuk ramai-ramai, dan akhirnya mereka dapat beli sehingga lima nombor plat," ujarnya dalam satu perkongsian video menerusi media sosialnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Sharnaaz, pihak JPJ sepatutnya memikirkan satu cara atau menaik taraf sistem sedia ada supaya lebih baik dan memberi keadilan buat mereka yang benar-benar mahu membeli nombor plat idaman.

"Buat satu sistem yang lebih adil pada rakyat Malaysia yang pegang Mykad untuk bida.

Saya tahu sistem yang ada sekarang memberi lebih kemudahan pada yang nak bida tetapi masalah juga dengan scalper.

"Saya tanya berapa ramai orang awam menang bida?

Tak ramai, yang menang ini kebanyakannya scalper.

"Lepas itu, mereka kongsi kegembiraan mereka menang bidaan nombor plat di media sosial dan sedia untuk jual nombor tersebut pada harga lebih daripada bidaan.

Mana keadilan untuk kita yang nak bida?" ujarnya yang turut menanda nama JPJ dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam video terbabit.

Rata-rata warga maya yang menonton video itu turut bersetuju dengan apa yang diperkatakan Sharnaaz.

Malah tidak kurang juga yang mencadangkan seorang pemegang MyKad boleh membeli hanya satu nombor setiap bidaan dan tidak boleh menjual kembali dalam tempoh lima tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!