PRK: Suhaizan cadang tambah lokasi Jualan Rahmah di kawasan padat penduduk

Suhaizan (kiri) beramah mesra bersama masyarakat setempat yang hadir pada Program Jualan Rahmah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Rawa hari ini. Foto Bernama
Suhaizan (kiri) beramah mesra bersama masyarakat setempat yang hadir pada Program Jualan Rahmah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Rawa hari ini. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penambahbaikan program Jualan Rahmah boleh dilaksanakan dengan menambah jumlah lokasi pelaksanaan program jualan itu terutama di kawasan berkepadatan penduduk.

Calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata beliau akan mencadangkan perkara itu kepada Kerajaan Perpaduan sebagai usaha membantu rakyat yang berdepan dengan ketidaktentuan kos sara hidup.

Suhaizan yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha itu antara visinya dalam meneruskan legasi Salahuddin apabila diberi mandat di kerusi parlimen itu.

"Kita lihat penambahbaikan yang boleh dibuat seperti menambah jumlah jenis produk di bawah Jualan Rahmah termasuk barangan lain selain keperluan asas.

"Inisiatif awal Jualan Rahmah diadakan di satu lokasi di setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) seluruh negara, kita cadangkan untuk menambah lokasi di setiap DUN,” katanya ketika ditemui pada program tinjauan mesra di Jualan Rahmah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perling di sini hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dilaporkan akan melaksanakan program Jualan Rahmah dua kali sebulan di 640 kawasan DUN seluruh negara bermula Ogos dengan menyasarkan 6,400 lokasi penganjuran program 640 kawasan DUN.

Dalam pada itu, menyentuh soal kebajikan belia di Parlimen Pulai, Suhaizan berazam menyediakan lebih banyak kemudahan rekreasi dan sukan bagi menggalakkan aktiviti sihat dalam kalangan golongan itu.

"Misalnya di Kempas, isu yang dibangkitkan golongan belia termasuk memerlukan padang bola sepak dan gelanggang futsal.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, isu peluang pekerjaan juga banyak dibangkitkan dan ini isu-isu yang perlu diselesaikan demi masa depan belia yang lebih baik di Pulai ini,” katanya.

Pada PRK Parlimen Pulai, Sabtu ini, Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!