Belajar Menulis Mushaf Al-Quran, Bawah Payung Awan paling laris
SHAH ALAM - Buku Belajar Menulis Mushaf Al-Quran terbitan Karya Bestari menjadi naskhah terlaris sejak tujuh hari berlangsungnya Jualan Gudang Karangkraf yang bermula 31 Ogos 2023.
Editor Kanan Grup Buku Karangkraf, Mazuen Yahaya berkata, naskhah yang dilengkapi dengan tujuh surah pilihan itu merupakan idea baharu untuk mempelajari kemahiran penulisan al-Quran.
Katanya, tujuh surah pilihan itu adalah surah al-Insan, al-Sajdah, al-Mulk, ar-Rahman, al-Waqiah, Yassin dan al-Kahfi.
“Buku ini mempunyai pelbagai keistimewaan iaitu boleh dijadikan panduan untuk mereka yang ingin melancarkan bacaan serta pemahaman al-Quran selain memberi terapi dari segi fizikal dan mental.
“Idea baharu dengan menyediakan panduan menulis mushaf al-Quran juga amat menarik dan mendapat sambutan daripada pembaca.
"Selain itu, ia juga dapat menambah kemahiran sekali gus melatih koordinasi mata serta tangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambah Mazuen, kebanyakan pembeli buku Belajar Menulis Mushaf Al-Quran terdiri daripada pelajar terutama pelajar tahfiz dan golongan belia.
“Menurut mereka, buku ini sangat mudah digunakan dan dalam masa yang sama boleh melancarkan hafazan. Sebelum ini tidak pernah jumpa buku seumpama ini,” jelasnya.
Menurut beliau, selain Belajar Menulis Mushaf Al-Quran, novel Bawah Payung Awan antara naskhah yang mendapat sambutan daripada pengunjung terutamanya generasi muda.
“Bawah Payung Awan merupakan karya Liza Nur yang baru sahaja diterbitkan dan sememangnya sudah dijangka mendapat sambutan kerana mempunyai peminat yang tersendiri,” ujarnya.
Mazuen turut memaklumkan, orang ramai berpeluang mendapat diskaun untuk kedua-dua buku tersebut sekiranya membeli di Jualan Gudang Karangkraf.
“Saya harap semua datang ke sini dan tidak melepaskan peluang diberikan apatah lagi harga yang ditawarkan sangat berbaloi berbanding di tempat lain,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!