VAR bukan penyelesaian mutlak
SISTEM video bantuan pengadil (VAR) yang bakal digunakan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan bukan penyelesaian penuh kepada sebarang kontroversi yang timbul daripada keputusan pengadil.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam berkata, liga di negara lain seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) yang sudah mengimplementasikan VAR masih berdepan masalah.
Bagaimanapun, Stuart tetap percaya teknologi itu akan menjadi satu ‘nilai tambah’ kepada sistem pengadilan di pentas Liga-M apabila ia mula dilaksanakan.
“VAR bukanlah penyelesaikan kepada segala-galanya yang mana liga terbaik di dunia sekalipun masih lagi berdepan isu pertikaian membabitkan VAR.
“Namun, saya percaya VAR akan membantu MFL, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pengadil dalam membuat keputusan yang lebih baik terutama apabila keputusan itu juga diperiksa oleh pihak kedua.
“Ia juga satu keperluan untuk liga kita bergerak kehadapan dari sudut profesional dan komersial selain permintaan daripada komuniti. Ini adalah evolusi yang kita perlu lalui,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya baru-baru ini.
Pelaksanaan VAR dalam saingan Liga-M semakin hampir direalisasikan apabila seramai 40 pengadil sedang menjalani latihan fasa kedua dan bakal menjalani latihan fasa tiga pada November dan Disember ini sebelum mendapat lesen sistem tersebut.
Sebelum ini, MFL turut mengumumkan akan membelanjakan sebanyak RM9.7 juta untuk memastikan teknologi itu dapat digunakan dalam Liga-M.
Jumlah tersebut adalah tiga kali ganda lebih mahal pada musim pertama kerana VAR yang diimplementasikan meliputi barangan keperluan seperti kamera, jaringan internet dan perlu menggunakan trak bergerak.
Bagaimanapun, kos untuk mengaplikasikan teknologi berkenaan di venue tertentu pada tahun berikutnya dianggarkan sekitar RM3.2 juta.
Dalam pada itu, Stuart berkata, pihaknya tidak mahu terburu-buru mengumumkan tarikh pelaksanaan VAR.
“Untuk melaksanakan VAR, kita memerlukan jawapan beberapa peringkat iaitu penyediaan pengadil, operasi, komunikasi dan teknologi adalah perkara yang perlu ditekankan sebelum VAR dilaksanakan dalam Liga-M,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!