Kelingkan Kelantan terbesar, terpanjang di dunia

Nik Faiz (kanan) menunjukkan kelingkan terpanjang dan terbesar menghiasi Anis Najihah (kiri). Foto: Ihsan Nik Faiz
Nik Faiz (kanan) menunjukkan kelingkan terpanjang dan terbesar menghiasi Anis Najihah (kiri). Foto: Ihsan Nik Faiz
A
A
A

KOTA BHARU - Selendang kelingkan Kelantan dipercayai terbesar dan terpanjang pernah dihasilkan di dunia bernilai RM20,000 dimiliki oleh sepasang suami isteri dari daerah ini.

Kelingkan bersaiz sepanjang tiga meter (m) dan selebar 1.3m itu dimiliki oleh Nik Faiz Nik Amin, 38, dan pasangannya, Anis Najihah Shamsudin, 28.

Nik Faiz yang juga Pengasas dan Pengarah Kreatif sebuah syarikat tekstil batik berkata, selendang kelingkan berwarna pastel bersulam benang berwarna keemasan tersebut ditempah khas untuk dihadiahkan kepada Anis Najihah semasa mereka diijab kabulkan.

Selendang itu digayakan bersama busana songket pengantin pada majlis resepsi mereka di sebuah hotel di sini pada 22 Januari lalu.

Kelingkan digayakan oleh Anis Najihah bernilai semasa RM20,000. Foto: Ihsan Nik Faiz
Kelingkan digayakan oleh Anis Najihah bernilai semasa RM20,000. Foto: Ihsan Nik Faiz

Katanya, individu penting di sebalik penghasilan selendang warisan tersebut ialah seorang tukang jahit kelingkan yang satu-satunya masih wujud di Kelantan iaitu Nik Marhammah Nik Megat, 50, yang juga cucu saudara bekas seorang tukang jahit Istana Kelantan, Nik Rahimah Nik Idris, 82.

“Selendang kelingkan bermotif bunga terung pipit ini ialah yang terbesar dan terpanjang di Malaysia atau di dunia.

"Kami percaya kelingkan jenis dari Kelantan ini adalah yang terpanjang dan terbesar kerana hanya Nik Marhammah sahaja tukang jahitnya yang masih ada.

Artikel Berkaitan:

“Seni ini ialah antara warisan Kelantan yang amat berharga namun berada di ambang kepupusan dan saya menempahnya untuk isteri selain akan diwarisi kepada anak cucu kami pada masa depan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) itu berkata, dia dan isteri turut menzahirkan tema majlis perkahwinan Melayu Kelantan autentik yang berinspirasikan negeri itu pada era 1950–an semasa persandingan tempoh hari.

Nik Faiz yang juga anak kelahiran Kota Bharu berkata, kelingkan ialah selendang sutera sifon bersulam benang logam keemasan yang digayakan oleh kenamaan, kerabat dan bangsawan di Kelantan, namun diancam kepupusan kerana sudah tidak ada lagi pelapis seterusnya untuk mewarisi seni penghasilan kraf tersebut.

Nik Faiz (kiri) bersama Anis Najihah (kanan) ketika hari persandingan mereka pada Januari lalu. Foto: Ihsan Nik Faiz
Nik Faiz (kiri) bersama Anis Najihah (kanan) ketika hari persandingan mereka pada Januari lalu. Foto: Ihsan Nik Faiz

“Saya pamerkan konsep kerana ingin menghidupkan kembali adat istiadat Melayu Kelantan dan mengenengahkan seni warisan yang mengalami krisis budaya atau kraf.

“Saya berharap usaha saya ini dapat mengembalikan kegemilangan warisan Melayu dan menjadi rujukan kepada masyarakat serta generasi akan datang agar terus memelihara warisan berharga kita,” ujar Nik Faiz.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!