Ramai penunggang motosikal tiada lesen memandu
SALAH satu syarat wajib untuk memandu kenderaan di Malaysia adalah memiliki lesen memandu yang sah.
Bagaimanapun, masih lagi ramai individu dikesan memandu tanpa lesen walaupun amaran berhubung kesalahan itu kerap kali diberikan.
Walaupun pelbagai program pendidikan dan advokasi dilakukan namun masih ramai yang tidak mengambil berat terhadap kesalahan berkenaan.
Lebih menyedihkan, banyak juga pemilik kenderaan seolah-olah mengambil mudah dengan membenarkan kereta atau motosikal mereka dipandu oleh anak di bawah umur dan juga individu yang tidak mempunyai lesen.
Berdasarkan Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan, mana-mana pemandu atau penunggang yang didapati bersalah memandu tanpa atau tiada lesen memandu yang sah akan dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau setahun penjara, atau kedua-duanya sekali.
Pesalah trafik juga mungkin didenda di bawah Seksyen 90 akta yang sama kerana memandu tanpa perlindungan insurans di mana pesalah akan didenda RM2,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan peningkatan kes itu menyebabkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan Operasi Khas Motosikal secara besar-besaran hingga 30 September ini.
Pemandu atau penunggang tanpa lesen ini tidak menjalani ujian atau latihan memandu secara formal.
Mereka juga tidak tahu undang-undang trafik, tanda jalan atau pemanduan defensif. Mereka bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya yang lain bahkan diri mereka sendiri.
Selain itu, terdapat penunggang motosikal tidak menggunakan lesen mengikut kelas ditetapkan terutama penunggang motosikal berkuasa tinggi yang hanya memiliki lesen motosikal B2.
Dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan, tindakan JPJ mengadakan operasi ini bagi mendidik pengguna supaya mematuhi peraturan dan berhemah semasa berada di jalan raya amatlah dialu-alukan.
Pada masa sama, kerajaan juga perlu menimbangkan cadangan supaya mengurangkan yuran untuk membuat lesen memandu.
Faktor harga lesen yang tinggi turut menjadi sebab mengapa ramai pengguna jalan raya tidak mempunyai lesen.
Mungkin jika yuran membuat lesen diturunkan, lebih ramai yang mampu untuk mendapatkan lesen motosikal mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!