OBJ main peranan dekati rakyat tangani isu 3R

Kesemua OBJ di Perak berkumpul sempena Program Santai Durian OBJ Bersama Ketua-Ketua Jabatan Daerah Perak Tengah anjuran Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah di Kompleks Desa Warisan IGROW, Kampung Gajah di sini baru-baru ini.
Kesemua OBJ di Perak berkumpul sempena Program Santai Durian OBJ Bersama Ketua-Ketua Jabatan Daerah Perak Tengah anjuran Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah di Kompleks Desa Warisan IGROW, Kampung Gajah di sini baru-baru ini.
A
A
A

PASIR SALAK - Peranan Orang Besar Jajahan (OBJ) di Perak semakin penting terutama dalam usaha menangani isu berkaitan institusi beraja, agama Islam dan kaum atau 3R sejak akhir-akhir ini seperti yang dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

OBJ Perak Tengah, Datuk Dr Ahmad Ruslan Mohd Ridzuan berkata, mengambil iktibar titah Sultan Nazrin itu, OBJ perlu menjadi medium penyatuan rakyat dengan cara mendampingi masyarakat, jawatankuasa masjid serta mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam jajahan masing-masing.

Menurutnya, pelaksanaan program bersama masyarakat di jajahan masing-masing bukan sahaja mendekatkan rakyat tetapi sekali gus memberi kefahaman tentang peranan sebenar dimainkan OBJ.

"Sebagai institusi yang mewakili Sultan Perak di daerah dan jajahan masing-masing, OBJ mempunyai tugas dan peranan yang penting untuk menjalankan titah perintah sultan, menjadi mata dan telinga kepada raja dan pemerintah, memberi nasihat dan pandangan, menjadi ahli jawatankuasa peringkat daerah dan negeri, menerima undangan majlis di daerah, negeri dan antarabangsa dan lain-lain tugas.

"Oleh itu, institusi OBJ menjadi penaung kepada soal kebajikan dan kepentingan rakyat di jajahan melalui tugas dan bidang kuasa yang dibenarkan serta budi bicara untuk memastikan keamanan, kesejahteraan dan pembangunan masyarakat terpelihara," katanya ketika berucap ketika Program Santai Durian OBJ Bersama Ketua-Ketua Jabatan Daerah Perak Tengah anjuran Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah di Kompleks Desa Warisan IGROW, Kampung Gajah di sini baru-baru ini.

Ahmad Ruslan berkata, peranan dan tugas OBJ perlu difahami terutama oleh penjawat awam, penghulu, ketua kampung, pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis masyarakat untuk memastikan rasa hormat terhadap institusi kesultanan serta keberkesanan tugas di jajahan masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek turut mengakui peranan OBJ semakin penting kepada rakyat bagi menghadapi cabaran kesan politik, ekonomi dan masalah sosial yang sedang dihadapi ketika ini.

Jelasnya, keberadaan OBJ di dalam jajahan masing-masing berupaya mengimbangi pelbagai isu masyarakat setempat tambahan pula mereka merupakan mata dan telinga kepada sultan dan pemerintah.

Artikel Berkaitan:

"Langkah julung kalinya, OBJ memberi taklimat di peringkat daerah seperti Perak Tengah ini adalah usaha terbaik supaya ketua-ketua jabatan, penghulu dan penggerak masyarakat mengetahui fungsi, peranan dan tugas sebenar OBJ.

"OBJ juga boleh memberi nasihat dan teguran terhadap pemimpin dan pentadbiran kerajaan jika didapati terdapat kelemahan dalam melaksanakan tanggung jawab kepada masyarakat," katanya.

Pada program tersebut kesemua 12 OBJ turut hadir termasuk ketua-ketua jabatan dan penghulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!