Ahli politik didakwa guna peruntukan bina jambatan ke kebun sendiri
SEPANG - Sudah menjadi rahsia umum bahawa ahli politik di negara ini, mencampuri urusan projek pembangunan luar bandar bagi keuntungan mereka.
Malah dedah pensyarah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Nor'izah Ahmad wujud ahli politik yang menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kesenangan peribadi dan kroni.
"Dapatan kita ada ahli politik yang menggunakan peruntukan (pembiayaan projek pembangunan luar bandar) ini untuk dibuat jambatan sepanjang dua kilometer, selepas diselidiki kata pemberi maklumat kami projek jambatan itu tidak diperlukan pun.
"Tetapi ia dibuat juga kerana jambatan itu menjadi penghubung ke kebunnya," katanya ketika membentangkan kertas penyelidikan berjudul 'Risiko Rasuah Dalam Sektor Pembangunan Luar Bandar' bersempena Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali ke-2 di Pusat Konvensyen Movenpick, di sini, pada Khamis.
Pada persidangan yang bermula pada Rabu yang menampilkan tema 'Membanteras Rasuah Dalam Kebersamaan: Tiada Noktah' sebanyak 10 kertas penyelidikan akan dibentangkan ia dianjurkan dengan kerjasama institut pengajian tinggi awam dan swasta iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Multimedia (MMU).
Persidangan ini sebagai satu platform bagi perancang dasar dan pemain-pemain industri dalam menilai, merancang dan mengambil tindakan bersesuaian dalam membantu mewujudkan masyarakat Madani yang bebas rasuah.
Persidangan ini turut menjadi platform dalam berkongsi dapatan penyelidikan dalam konteks tata kelola, integriti dan antirasuah serta membincangkan isu-isu semasa berkaitan risiko rasuah, pelanggaran integriti dan kelemahan tata kelola yang boleh ditambah baik.
Penganjuran persidangan ini merupakan kesinambungan kepada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah kali pertama yang diadakan di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA Sepang pada 23-24 Mac 2022 yang lalu.
Tambahnya lagi, ada juga syarikat yang sudah disenarai hitam kerana tidak dapat menyiapkan projek pembangunan sebelum ini, namun tetap diberi anugerah projek kerana campur tangan orang politik.
"Ada ya, yang syarikat ini telah di 'black list', namun disebabkan oleh campur tangan orang politik syarikat ini dapat projek pembangunan luar bandar, ini memberi aplikasi yang besar," tegasnya.
Justeru katanya, polisi dari sudut dasar dan perundangan berhubung pemberian projek pembangunan luar bandar perlu ditambah baik bagi mengatasi perkara ini.
Penduduk luar bandar di Malaysia adalah sebanyak 7609 ribu orang manakala penduduk bandar di Malaysia adalah sebanyak 25,048.2 ribu orang (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2020).
Pada bajet 2023 peruntukan pembangunan luar bandar berjumlah RM10.93 bilion untuk melaksanakan agenda kesejahteraan rakyat di luar bandar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!