Mekanik caj RM1 baik pulih kereta OKU

Sheikh Muhammad Makhdad (dua dari kiri) bersama isterinya ketika menyerahkan kereta yang telah dibaiki kepada Rajandran.
Sheikh Muhammad Makhdad (dua dari kiri) bersama isterinya ketika menyerahkan kereta yang telah dibaiki kepada Rajandran.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) menarik nafas lega apabila ada pihak yang prihatin dan membantu membaiki kerosakan keretanya dengan bayaran RM1.

M Rajandran Kumar, 59, berkata, kereta jenis Perodua Viva yang dibeli sejak 12 tahun lalu mengalami masalah enjin dan memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 hingga RM3,000 untuk membaiki kerosakan berkenaan.

Menurutnya, lebih malang dia telah beberapa bulan tidak bekerja selepas mengalami patah kaki pada November tahun lalu ketika bekerja sebagai pekerja am di sebuah kebun di Nyalas, Jasin.

Katanya, terharu biarpun berbeza bangsa namun bukan penghalang untuk mekanik berkenaaan membantunya yang kurang bernasib baik.

"Jadi kereta ini penting untuk kami sekeluarga bergerak kerana ini sahaja kenderaan yang saya ada.

"Saya cuba juga pergi ke beberapa bengkel kereta, namun tak mampu dengan bayaran yang dimaklumkan, sebelum seorang jiran membawa saya ke Bengkel kereta Makhdad di Kampung Gangsa," katanya ketika ditemui di sini, pada Isnin.

Dia yang menetap di Cheng Mutiara berkata, selama ini mereka tiga beranak hanya bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan bersyukur apabila kereta itu berjaya dibaiki dalam tempoh seminggu.

"Jadi mudah untuk saya bergerak lebih-lebih lagi anak saya berusia 21 tahun juga merupakan OKU," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemilik Makhdad Workshop, Sheikh Muhammad Makhdad Harun, 49, yang mesra dipanggil Pak Ngah berkata, sebelum ini dia membantu mereka yang kurang bernasib baik melalui pemberian kereta ataupun motosikal dengan bayaran RM1.

Namun menurutnya, kali ini pihaknya membantu individu itu dengan cara membaiki kenderaan dan ia tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa sokongan rakan-rakan dan penyumbang.

"Bila tahu mengenai kesusahan keluarga ini saya setuju untuk membantu tanpa mengira bangsa.

"Bayaran RM1 yang dikenakan pula sebagai simbolik kepada bantuan ini yang mana kos kerosakan termasuk upah dianggarkan hampir berjumlah RM2,000," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!