Sensasi Aniq di bumi Arab Saudi
BADANG negara, Muhamad Aniq Kasdan melakar sensasi setelah meraih pingat gangsa acara clean & jerk dalam Kejohanan Angkat Berat Dunia di Riyadh, Arab Saudi pada Rabu.
Kejayaan meraih podium itu sekali gus meletakkan badang berusia 21 tahun itu di landasan terbaik dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Aniq meletakkan harapan boleh disandarkan kepadanya apabila melakukan angkatan 166 kilogram (kg) untuk meraih tempat ketiga.
Lebih manis, angkatan 125kg bagi acara snatch berjaya mencatat keseluruhan 291kg sekali gus memecahkan rekod kebangsaan kategori 61kg.
“Alhamdulilah, ini adalah pingat kedua bagi saya di Kejohanan Dunia. Ini adalah pencapaian kedua terbesar selepas Sukan Komanwel (pingat emas)," ujar Aniq.
Emas dalam acara clean & jerk itu dimenangi atlet Amerika Syarikat, Hampton Morris dengan angkatan 168kg, manakala Li Fabin dari China meraih perak (167kg).
Sebagai rekod ini adakah kali kedua Aniq memenangi pingat di Kejohanan Dunia selepas memenangi pingat perak dalam acara clean & jerk kategori 55kg pada edisi 2021 yang berlangsung di Uzbekistan.
Pingat emas acara clean & jerk dimenangi atlet Amerika Syarikat, Hampton Moris dengan angkatan 168kg manakala Li Fabin dari China meraih perak (167kg).
Atlet kelahiran Johor itu menganggap kejayaan di Arab Saudi tersebut sebagai suntikan semangat untuk dia mengharungi baki tiga kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris.
“Semoga dengan kejayaan ini menjadi motivasi untuk saya melakar kejayaan pada masa akan datang,” kata Aniq.
Dia berada di landasan terbaik untuk menjadi atlet angkat berat pertama Malaysia layak secara merit ke temasya terbesar dunia itu apabila menghuni ranking kesembilan keseluruhan selepas tiga kejohanan.
Seramai 10 atlet terbaik setiap kategori (hanya satu atlet satu negara) Olimpik layak secara automatik untuk ke Sukan Olimpik Paris.
“Saya akan terus bekerja keras dan kekal fokus bagi membuat persiapan menghadapi tiga lagi baki kejohanan selepas ini,” kata Aniq.
Aniq selepas ini akan mengharungi tiga kelayakan bermula Kejohanan IWF Grandprix 2 (4 hingga 14 Disember 2023) di Qatar.
Selepas itu dia akan terbang ke di Uzbekistan bagi menyertai Kejohanan Angkat Berat Asia (3 hingga 10 Februari 2024) dan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand (2 hingga 12 April 2024).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!