Bekas ketua Mossad mengaku Israel amal aparteid

Aktivis pro-Palestin membawa potret bekas Presiden Afrika Selatan dan mangsa aparteid, mendiang Nelson Mandela semasa membantah pembinaan tembok pemisah di perkampungan Bilin, Tebing Barat. - Foto Agensi
Aktivis pro-Palestin membawa potret bekas Presiden Afrika Selatan dan mangsa aparteid, mendiang Nelson Mandela semasa membantah pembinaan tembok pemisah di perkampungan Bilin, Tebing Barat. - Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Bekas ketua agensi perisikan Israel mengaku bahawa Tel Aviv menguatkuasakan sistem aparteid terhadap rakyat Palestin.

Tamir Pardo yang merupakan ketua pengintip Mossad dari 2011 hingga 2016 membuat kenyataan itu kepada The Associated Press pada Rabu.

Menurutnya, perlakuan ganas dan diskriminatif Israel ke atas warga Palestin memenuhi seluruh ciri aparteid yang melanggar undang-undang antarabangsa.

"Katakanlah berlaku kemalangan kereta antara kereta peneroka Yahudi dan kereta rakyat Palestin yang tinggal di Hebron atau Nablus.

"Setiap seorang daripada mereka berdiri di hadapan sistem undang-undang yang berbeza iaitu satu di bawah sistem undang-undang tentera dan satu lagi dibicarakan sebagai orang awam biasa," kata Pardo.

Aparteid merujuk kepada sistem pemisahan kaum di Afrika Selatan yang berakhir pada tahun 1994.

Israel telah mengamalkan rejim sama terhadap rakyat Palestin sejak sejak 1948, apabila ia merampas tanah dan mengisytiharkan kewujudannya di seluruh Palestin selepas perang yang disokong Barat.

Peperangan yang disokong Barat itu turut menyaksikan berpuluh ribu rakyat Palestin telah diusir secara paksa dari rumah mereka dan beribu-ribu terbunuh.

Artikel Berkaitan:

Rejim Zionis melancarkan satu lagi perang seumpama itu pada 1967 dan merampas wilayah Palestin di Tebing Barat, termasuk Timur Baitulmaqdis.

Sementara itu, Pardo memberi amaran tentang tidak balas yang bakal dihadapi Israel susulan layanan buruk, tidak adil dan berat sebelah terhadap rakyat Palestin.

"Israel mungkin alami nasib sama seperti Afrika Selatan di mana terdapat sekatan yang dikenakan oleh masyarakat antarabangsa akibat dasar aparteid yang berleluasa," katanya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!