Isu 3R: PDRM tidak menyebelahi mana-mana parti politik
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tidak pernah menyebelahi mana-mana parti politik, sekali gus menafikan dakwaan 'polis dicucuk hidung ahli politik’ berhubung siasatan isu agama, kaum dan institusi Diraja (3R).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan itu melibatkan semua lapisan masyarakat yang menyentuh isu 3R.
"Tanggapan bahawa polis mengikut arahan ahli politik adalah tidak benar. Kita memandang serius dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R.
"Malah kerajaan sebelum ini juga menggesa agar isu 3R tidak disentuh kerana boleh mengganggu ketenteraman awam," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup Simposium Forensik Kebangsaan ke-4 2023 di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini pada Khamis.
Beliau berkata, bukan sahaja ahli politik dituduh di mahkamah, orang awam yang menyentuh isu 3R turut disiasat.
"Kita akan mengambil tindakan tanpa rasa takut atau pilih kasih kepada sesiapa yang menyentuh isu 3R.
"Sebagai contoh, kes sebelum ini fitnah terhadap Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor), suspek merupakan orang awam, kita tangkap dia pada tengah malam," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Razarudin mengesahkan polis akan mengambil keterangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa depan berhubung isu ‘fatwa’ politik yang dikeluarkannya.
Muhyiddin sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Johor, baru-baru ini didakwa mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan tindakan mengundi bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan Kayat sebagai haram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!