Kedai serbaneka jual makanan import guna sijil halal tidak sah

Pegawai penguat kuasa KPDN Pahang dan JAIP melakukan pemeriksaan di premis menjual makanan bagi mengesan produk makanan import menggunakan logo halal tidak sah.
Pegawai penguat kuasa KPDN Pahang dan JAIP melakukan pemeriksaan di premis menjual makanan bagi mengesan produk makanan import menggunakan logo halal tidak sah.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang mengambil tindakan ke atas sebuah premis kedai serbaneka di sini kerana menjual produk makanan import menggunakan logo halal tidak sah.

Hasil pemeriksaan sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Pahang bersama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) ke atas barangan makanan yang dijual di premis tersebut menemui produk coklat diimport menggunakan logo halal badan Islam luar negara yang tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, ekoran itu, pihaknya telah menyita 240 bungkus coklat import bernilai RM2,616 untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah kesalahan Perintah 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana melanggar Perintah 5(1) Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

"Pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 3 petang pada Rabu ekoran aduan awam berkenaan premis menjual pelbagai makanan import yang tidak mempunyai sijil halal," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Jezlily berkata, KPDN memberi amaran keras terhadap individu atau syarikat berkaitan supaya mematuhi perundangan yang ditetapkan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal), Akta Perihal Dagangan 2011.

"Hukuman diperuntukkan bagi kesalahan itu denda tidak lebih RM100,000 dan bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan.

"Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 dan tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan berikutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!