[VIDEO] Bung Moktar, Zizie Izette lepas bebas kes rasuah RM2.8 juta
KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis membenarkan permohonan semakan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang mengarahkan mereka membela diri atas tuduhan rasuah sebanyak RM2.8 juta.
Susulan keputusan itu, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid melepas dan membebaskan pasangan suami isteri itu daripada tuduhan berkenaan.
Ketika membaca keputusan permohonan berkenaan, Azhar berkata, tiada bukti menunjukkan dua saksi utama pendakwaan, memberikan rasuah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan itu melalui Zizie Izette.
Dua saksi itu ialah perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 46, dan Madhi Abdul Hamid, 44, masing-masing selaku saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25.
“Sehubungan itu, wajar bagi mahkamah melaksanakan kuasa semakan mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah.
“Oleh itu, keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan kedua-dua pemohon untuk membela diri (pada 2 September tahun lalu) adalah salah laksana keadilan.
“Saya dengan ini, mengguna pakai Seskyen 325 Kanun Prosedur Jenayah bagi melepas dan membebaskan kedua-dua pemohon,” kata hakim.
Mendengar keputusan itu, Bung Moktar, 66, dan Zizie Izette, 46, yang berada dalam kandang tertuduh, berpelukan dan menangis.
Suasana sayu itu turut dikongsi penyokong yang berada di galeri awam yang mengerumuni mereka.
Pada 7 Julai lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara menghantar balik permohonan semakan itu ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan meritnya didengar dan diputuskan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin memutuskan demikian selepas menolak bantahan awal pihak pendakwaan.
Mahkamah berpuas hati, Seksyen 35(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyatakan Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa menyemak keputusan mahkamah rendah pada mana-mana peringkat jika terdapat keperluan berbuat demikian sama ada melalui notis usul atau memanggil rekod prosiding mahkamah berkenaan.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga didakwa menerima suapan RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.
Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!