'Jangan benarkan kekal di kedudukan tinggi' - Faizal Azumu

Kenyataan Ahmad Faizal di Facebook pada Khamis.
Kenyataan Ahmad Faizal di Facebook pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli politik yang menyalahgunakan institusi undang-undang tidak boleh dibenarkan kekal berada di kedudukan tinggi mereka.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, rakyat tidak boleh sama sekali membenarkan ahli politik mempersendakan tiang-tiang institusi berkenaan.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara mestilah sentiasa menjadi penanda aras untuk dipatuhi dalam menjaga kesucian institusi itu.

"Saya, sama seperti semua rakyat Malaysia yang lain percaya bahawa tonggak ini tidak boleh digunakan atau disalahgunakan untuk kepentingan politik.

"Kita boleh berhujah dan bertelagah sepanjang hari tentang naratif politik, tetapi tiada satu pun jari mesti diletakkan pada tiang-tiang ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian dipercayai merujuk kepada kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin yang dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat itu.

Justeru, Ahmad Faizal menggesa rakyat agar mengundi ahli politik yang menghormati kedaulatan undang-undang dan menghormati perlembagaan dalam pilihan raya akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Undilah ahli politik yang kekal komited kepada kedaulatan undang-undang walaupun sukar untuk beliau berbuat demikian. Jangan kita lupa bahawa watak sebenar seorang pemimpin hanya terserlah apabila dia diberi kuasa," tegasnya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjelaskan, sistem perundangan hanya akan berfungsi pada tahap optimum jika garisannya tidak di langkau iaitu sekiranya ahli politik kekal di lorong mereka dan tidak mengenakan angan-angan politik mereka kepada institusi tersebut dengan sesuka hati.

"Malangnya, hari ini, garisan ini telah dicemari. Semata-mata untuk kelangsungan politik, pejabat peguam negara tidak diendahkan.

"Hakim-hakim tidak dihormati dan dibiarkan terdedah kepada situasi yang mencemarkan kesucian institusi. Seorang pendakwa raya terpaksa memilih untuk bersara awal di tengah-tengah perbicaraan yang berprofil tinggi.

"Perkhidmatan awam dan kedaulatan undang-undang telah dijadikan bahan ejekan sepenuhnya. Ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk tonggak institusi kita pulih daripada kekufuran ini. Noda hitam pada sistem akan kekal selama beberapa generasi," ujar beliau.

Menurutnya, perkara itu sama sekali tidak adil kerana institusi terbabit tidak mempunyai akses kepada pembelaan yang sewajarnya atau hak untuk membalas.

"Ia tidak mempunyai apa-apa selain kesucian perlembagaan dan kedaulatan undang-undang untuk bergantung," ulasnya.