Hasrat OKU lumpuh kaki bertemu Agong, Raja Permaisuri tercapai

Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni masyarakat setempat ketika berangkat ke KDCA sempena Kembara Kenali Borneo pada Khamis. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni masyarakat setempat ketika berangkat ke KDCA sempena Kembara Kenali Borneo pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PENAMPANG - Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk menyantuni rakyat di Sabah sempena Kembara Kenali Borneo digunakan sepenuhnya rakyat untuk bertemu pasangan diraja dan rombongan.

Peluang dan kesempatan yang ada pada hari terakhir konvoi itu berada di Sabah membuatkan seorang orang kurang upaya (OKU), Mat Jali Husmin, 44, berusaha berada di perkampungan budaya Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, destinasi persinggahan pertama konvoi Kembara Kenali Borneo yang dalam perjalanan ke bahagian selatan negeri itu.

Berkongsi cerita kepada Bernama, Mat Jali yang berkerusi roda kerana lumpuh bahagian kaki sejak lahir berkata, beliau nekad mahu bertemu Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dan sanggup datang berseorangan dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing, ke KDCA.

Mat Jali mengetahui tentang keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah melalui pelbagai berita yang disiarkan sejak beberapa hari lepas.

"Saya sudah rancang dari kelmarin lagi (mahu bertemu Seri Paduka berdua). Sudah tunggu dari 7 pagi tadi (Khamis) di sini. Syukur, Alhamdulillah saya dapat bertemu dengan Tuanku.

"Saya rasa amat gembira, terharu dan seronok dapat jumpa dengan Tuanku (Seri Paduka berdua) kerana bukan selalu Tuanku datang (berkenan berangkat) ke Sabah, sekali-sekala sahaja kan,” katanya yang tinggal di Menggatal, sebuah bandar kecil yang terletak kira-kira 20 kilometer dari KDCA.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menyantuni dan bersalaman dengan Mat Jali sebelum melawat pameran mengenai kehidupan tradisi suku kaum rakyat Sabah di KDCA.

Seri Paduka berdua pada Khamis meneruskan perjalanan ke Masjid Sahabat, Sindumin, Sipitang bagi Majlis Santapan Tengah Hari bersama Rakyat sebelum menuju Lawas, bandar paling utara di Sarawak dan kemudiannya memasuki Brunei.

Artikel Berkaitan:

Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak, sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!