Kempen fizikal banteras rasuah tidak mencukupi
SHAH ALAM - Usaha memerangi rasuah perlu diperluaskan dengan memasukkan segala informasi berkaitan kempen fizikal ke semua platform atas talian.
Menurut Pengerusi LTT Global Communications, Dr Wemel Cumavoo, pendekatan itu penting untuk dilakukan agar rakyat Malaysia tidak berasa terpinggir dalam mendapatkan segala informasi yang disampaikan.
“Tujuan utama kami menjalinkan hubungan bersama Rasuah Busters adalah untuk menyambut usaha yang dilakukan oleh pasukan ini, kerana ia memiliki hala tuju sama seperti syarikat iaitu mendidik masyarakat menjauhi rasuah.
“Kami melihat, pasukan ini (Rasuah Busters) bergiat aktif turun ke padang dalam menyampaikan maklumat mengenai bahana rasuah. Jadi alangkah baiknya jika segala informasi yang disampaikan itu turut dikongsikan ke dalam laman sesawang, ‘e-learn’ yang kami bina ini,” katanya ketika ditemui pada Khamis.
Jelasnya, menerusi laman sesawang berkenaan, orang ramai bukan sahaja dapat mengakses segala program berkaitan Rasuah Busters tetapi juga dapat menambah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang seperti agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).
Beritahu Wemel, e-learn itu diwujudkan adalah untuk melahirkan individu yang mempunyai pengetahuan meluas mengenai ESG. “Apabila mahu mewujudkan satu komuniti bebas rasuah, perkara utama yang perlu dilakukan adalah membentuk jati diri dengan pengetahuan asas kukuh mengenai perkara tersebut.
“Justeru, orang ramai boleh mendaftar secara percuma ke laman sesawang e-learn untuk mendapatkan segala informasi berkaitan integriti, ESG, pembentukan sahsiah diri sebagai pekerja dan sebagainya,” ujarnya.
Katanya, sebaik sahaja seseorang itu mempunyai pegangan moral baik, ia secara tidak langsung akan mewujudkan komuniti positif dan berusaha memerangi masalah berkenaan.
Tambah Wemel lagi, e-learn juga mempunyai kandungan premium yang mana orang ramai perlu melanggan untuk mengakses informasi lebih terperinci, menarik dan bersifat global.
“Saya berharap agar setiap syarikat menggunakan laman sesawang ini sebagai rujukan dalam membentuk sahsiah diri dan etika pekerja.
“Tingkah laku pekerja merupakan cerminan kepada pihak atasan pengurusan syarikat. Jadi adalah penting untuk ketua jabatan mula menerapkan e-learn sebagai salah satu rujukan untuk melahirkan pekerja berintegriti,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!