Peniaga buntu, sukar dapat beras tempatan

Beras import lebih banyak ditawarkan berbanding beras tempatan. (Gambar kecil: Shilley dan Fadlullah)
Beras import lebih banyak ditawarkan berbanding beras tempatan. (Gambar kecil: Shilley dan Fadlullah)
A
A
A

TEMERLOH - Kesukaran mendapatkan beras putih tempatan menyebabkan peniaga makanan terhimpit susulan kenaikan harga beras putih di pasaran.

Kenaikan harga beras putih import di seluruh negara susulan penyelarasan harga yang dibuat oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas), menyebabkan pengguna kini lebih cenderung membeli beras putih tempatan yang dijual pada harga dikawal iaitu sekitar RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit.

Rata-rata peniaga ketika ditemui Sinar Harian di sini mendakwa mereka sukar mendapat bekalan untuk beras tempatan sejak kebelakangan ini.

Bagi seorang peniaga nasi lemak, Fadlullah Samsudin, 34, dia menggunakan beras tempatan namun kesukaran mendapatkan bekalan menyebabkan dia terpaksa beralih arah.

"Tapi harga beras import makin mahal pula, boleh pening kepala dengan sukar nak dapat beras tempatan, nak tak nak kena beli yang import juga," kata dia baharu mengambil alih perniagaan milik keluarga sejak beberapa bulan lalu.

Seorang pengurus restoran, Shilley Ahmad, 47, kenaikan harga beras import memberikan tekanan kepada peniaga terlibat.

"Kalau ada beras tempatan memang kami nak beli selepas harga beras import sudah mahal tapi nak dapat payah sekarang ini.

"Kami sangat berharap kerajaan dapat mengambil tindakan segera meningkatkan bekalan beras tempatan di pasaran," tambah Shilley restoran itu sudah beroperasi lebih 20 tahun.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, peniaga nasi kukus ayam berempah,Nor Akmar Ahmad Bihauddin, 45, memberitahu, kesukaran mendapatkan beras tempatan menyebabkan kos meningkat dan menambahkan lagi tekanan mereka dalam suasana ekonomi yang tidak menentu.

"Dulu RM25 untuk 10 kilogram, kini mencecah hingga RM35 untuk beras import, tak sampai sebulan, memang kos makin naik la bila beras pun sudah mahal," tambah wanita tersebut.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa premis di Mentakab mendapati dakwaan peniaga terbabit benar dan majoritinya lebih banyak menawarkan beras import.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!