Muhyiddin dinasihatkan berhati-hati

Suhaizan, Muhyiddin
Suhaizan, Muhyiddin
A
A
A

JOHOR BAHRU – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dinasihatkan berhati-hati apabila memperkatakan sesuatu yang berkait dengan hukum agama kerana ia mudah disalah tafsir oleh pihak-pihak tertentu.

Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat berkata, tindakan Muhyiddin yang mengatakan haram untuk mengundi dirinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini juga boleh menimbulkan salah faham.

“Perkataan-perkataan hukum ini mudah disalah tafsir oleh pihak-pihak tertentu...oleh sebab itu dalam kempen kita perlu berhati-hati dan jangan guna istilah-istilah begitu, ia menyebabkan salah faham.

“Ada cara lain, contohnya janganlah undi Suhaizan, sekian..sekian, tak payah guna pun haram tu...itu sahaja...saya rasa itu sahaja kesilapan Tan Sri (Muhyiddin) sekian... sekian... sekian...tak payah pun gunakan perkataan haram tu.

“Boleh juga gunakan ‘tak wajar undi Suhaizan', banyak lagi perkataan yang boleh digunakan selain perkataan haram itu,” katanya pada Khamis sempena program Jualan Rahmah di Jalan Lama Hospital Permai.

Suhaizan (dua dari kiri) di Jualan Rahmah bergerak tersebut.
Suhaizan (dua dari kiri) di Jualan Rahmah bergerak tersebut.

Suhaizan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin yang mengatakan bahawa haram untuk mengundi Suhaizan pada PRK Pulai nanti.

Tambah Suhaizan, ketika berkempen, calon dan penyokong haruslah berhati-hati kerana kempen adalah bagi tujuan memberikan penerangan kepada penyokong.

Artikel Berkaitan:

“Kalau salah penerangannya, maka salahlah fahamannya.

Namun, saya fikir isu ini tidaklah sampai sampai ke peringkat berlaku ketegangan, kerana orang Johor ni tak suka bergaduh.

“Dia lebih kepada perbincangan, penerangan dan bukan pergaduhan seperti dalam politik,” katanya.

Sementara itu Suhaizan berkata, Jualan Rahmah Bergerak itu akan diadakan sebulan sekali di lokasi-lokasi terpilih di sekitar Parlimen Pulai.

Katanya, jualan berkenaan diharap dapat memberikan kemudahan dan membantu meringkankan sedikit beban orang ramai.

“Hari ni, Jualan Rahmah Bergerak ini kita adakan di hadapan PPR Kempas Permai, Alhamdulillah, sambutannya begitu menggalakkan sekali.

“Penduduk dapat beli barang keperluan dengan mudah, dekat dengan tempat tinggal dah boleh jimat untuk caj parkir.

“Apa pun, kita nak teruskan legasi Allahyarham (Datuk Seri Salahuddin Ayub) dan salah satu daripadanya adalah jualan ‘Rahmah’,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!