32 orang awam terbunuh dalam serangan Tentera Sudan
KHARTOUM - Seramai 32 orang awam terbunuh dalam serangan yang dilancarkan oleh Tentera Sudan (SAF) di bandar Omdurman, menurut kumpulan perundangan Sudan, Emergency Lawyers pada Rabu.
Badan bukan kerajaan itu berkata orang awam, termasuk kanak-kanak terbunuh akibat serangan itu yang berlaku pada Selasa, lapor Xinhua.
Serangan itu juga menyebabkan berpuluh-puluh cedera dan beberapa rumah musnah, menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Penggunaan artileri berat dan ringan di kawasan penduduk awam merupakan jenayah perang dan menunjukkan kedua-dua pihak yang bertelagah tidak menghiraukan nyawa orang awam.
SAF masih belum mengulas mengenai kejadian itu.
Menurut saksi, pertempuran ganas berlaku pada Rabu antara SAF dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di kawasan kejiranan Ombada di barat Omdurman dan sekitar pangkalan Kor Jurutera di barat daya bandar itu.
Sudan menyaksikan pertempuran maut antara SAF dan RSF di Khartoum dan kawasan lain sejak 15 April, mengakibatkan sekurang-kurangnya 3,000 kematian dan lebih 6,000 lain cedera, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Sudan. - Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!