JKM beri sokongan moral anak mangsa kemalangan maut 6 beranak
KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan terus memberi sokongan moral dan mental kepada remaja lelaki yang kehilangan ibu bapa dan empat adik beradiknya akibat kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Jumaat lepas.
Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian itu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah melakukan lawatan terhadap Abdul Rahman Amir Rudin, 19, untuk sesi kaunseling dan bantuan.
"Kaunseling ialah perkara yang biasa dilakukan oleh JKM kerana itu keutamaan untuk melihat status emosi individu yang terlibat dalam kes seperti ini.
"Kejadian berlaku secara mengejut dan kita akan melihat beberapa perkara termasuk cara lain untuk membantu melalui lawatan susulan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jeyarawara KPWKM@Advokasi Anti Gangguan Seksual Negeri Kelantan, di sini pada Khamis.
Nancy memberitahu, JKM juga turut menghulurkan bantuan kewangan dan akan meneliti keperluan untuk pengajian adik Abdul Rahman iaitu Abdullah.
Abdullah, 15, yang mengalami kecederaan teruk masih dirawat di Hospital Segamat dan kini kesihatannya dilaporkan semakin baik.
Dalam kemalangan itu, mangsa yang meninggal dunia ialah ibu bapa Abdul Rahman, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43, dan empat lagi adiknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!