Pembangkang kena henti sentimen peralihan kerajaan - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangkang perlu memainkan peranan sebagai pembangkang konstruktif dalam sistem negara demokrasi dan berhenti memainkan sentimen peralihan kerajaan, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, ini kerana sentimen itu tidak memberi apa-apa keuntungan kepada negara, dan pembangkang sepatutnya memberikan peluang kepada 19 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan untuk bekerja sepanjang penggal ini sebelum 'berentap' semula pada pilihan raya umum akan datang.

"Jika kita masih lagi bercakaran dan memainkan sentimen kerajaan bertukar, semua ini tidak akan bermakna. Ini adalah satu mesej yang tidak ada makna, tidak positif dan tidak konstruktif kepada pembangunan negara.

"Ia hanya akan timbulkan kesangsian dan keraguan kepada yang ingin melabur, kerana bimbang dengan masalah politik negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Mercu 2023 di sini, pada Khamis.

Beliau menyifatkan tempoh 'bercakaran' dan 'kata mengata' antara pihak kerajaan dan pembangkang sudah tamat sebaik selesai Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri, serta secara umumnya Kerajaan Perpaduan mempunyai baki empat tahun lagi untuk mentadbir dan akan fokus kepada kestabilan negara.

Asyraf Wajdi berkata, beliau yakin dalam tempoh masa itu, Kerajaan Perpaduan mampu memastikan kerajaan beroperasi secara efektif, menumpukan kepada kestabilan, menjana ekonomi seterusnya wujudkan kepercayaan serta keyakinan pelabur. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!