Ucapan Zahid didakwa berbaur 'sogokan', Bersih buat laporan polis

Thomas (kanan) ketika membuat laporan polis berkenaan.
Thomas (kanan) ketika membuat laporan polis berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), membuat laporan polis berhubung ucapan didakwa berbaur sogokan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sempena program lawatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR), Melana Indah Fasa 1, Ahad lalu.

Menurut Pengerusi Bersih, Thomas Fan, ucapan Presiden UMNO itu dilihat seperti cuba mempengaruhi pengundi khususnya di Parlimen Pulai apabila mengatakan projek penambahbaikan PPR tersebut akan diteliti dan diluluskan dengan syarat calon Pakatan Harapan (PH), perlu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK), Pulai.

Katanya lagi, sekiranya calon PH tidak menang pada PRK kali ini, permohonan daripada Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berhubung penambahbaikan berkenaan akan 'ditengok' (teliti) semula.

"Kami memutuskan untuk membuka laporan polis susulan ucapan Zahid ini dan berpandangan perkara ini perlu disiasat kerana bercanggah dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di bawah Seksyen 9 Pengaruh Tidak Wajar dan Seksyen 10 Penyogokan.

"Kami mahu polis siasat perkara ini kerana ia satu pengaruh yang tak wajar apabila menggunakan pengaruhnya sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk pengaruh pengundi untuk mengundi calon PH.

"Kami juga dapati mungkin ada elemen rasuah dalam perkara ini, jadi, kami buat laporan polis ini supaya polis segera menyiasat perkara ini dengan peguam negara yang baharu ini," katanya setelah selesai membuat laporan polis di Balai Polis Johor Bahru Selatan, pada Khamis.

Tambah Thomas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk segera mengawal kelakuan anggota kabinet dengan Garis Panduan Kerajaan Sementara dan Bukan Sementara agar sumber dan jentera kerajaan tidak disalahgunakan oleh para Menteri untuk berkempen.

"Apa yang dilakukan oleh (Ahmad) Zahid ini bukanlah pertama kali diucapkan.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini ucapan yang hampir sama jug dibuat semasa kempen pilihan raya negeri lalu di Kuala Terengganu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!