Tugas Kian Meng-Pei Jing belum selesai

Kian Meng (kanan) dan Pei Jing akan menentang beregu Thailand dalam aksi suku akhir Terbuka China di Changzhou pada Jumaat. - Foto Badminton
Kian Meng (kanan) dan Pei Jing akan menentang beregu Thailand dalam aksi suku akhir Terbuka China di Changzhou pada Jumaat. - Foto Badminton
A
A
A

BEREGU campuran profesional negara,Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menganggap pencapaian mara ke suku akhir siri jelajah dunia buat kali pertama tahun ini sebagai sesuatu yang sangat bermakna.

Bagaimanapun pasangan itu enggan cepat berpuas hati dengan pencapaian tersebut kerana perjuangan mereka pada Kejohanan Terbuka China masih belum selesai.

Mereka yang menduduki ranking ke-23 dunia dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan beregu Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 18-21, 21-19, 21-12 dalam aksi pusingan kedua di Changzhou pada Khamis.

“Mara ke suku akhir pertama kami tahun ini amat bermakna tetapi tugas kami belum tamat kerana esok ada perlawanan besar dan amat penting,” ujar Kian Meng kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sebagai rekod, ia merupakan kemenangan pertama ke atas gandingan ke-26 dunia itu selepas dua kali tewas dalam pertembungan Seluruh England 2020 dan Terbuka Thailand 2019.

“Kami sudah agak lama tak menentang mereka, tapi yang penting strategi kami menjadi," kata Kian Meng.

Mereka akan membuat perhitungan dengan pasangan nombor empat dunia, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, selepas pasangan Thailand itu mengalahkan beregu Indonesia, Rinov Rinaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-16, 21-13.

“Kami akan bertemu lawan besar dan tidak mahu bermain terlalu bertahan, tidak boleh mengangkat bola tinggi terlalu banyak dan kami mahu tampilkan corak menyerang,” ujar Pei Jing.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, pasangan Thailand itu mempunyai rekod cemerlang menang sembilan daripada 11 pertemuan dan kali terakhir mereka bertemu pada Terbuka Korea lalu yang menyaksikan Dechapol-Sapsiree menang 21-9, 21-7.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran dan yang penting mahu mempamerkan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan,” ujar Pei Jing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!