Lelaki diserang sawan ditemui mati dalam parit

Mayat mangsa ditemukan dalam parit oleh orang awam di Pekan Gosyen, Kota Marudu.
Mayat mangsa ditemukan dalam parit oleh orang awam di Pekan Gosyen, Kota Marudu.
A
A
A

KOTA MARUDU - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dipercayai diserang sawan ditemukan meninggal dunia di dalam parit Pekan Gosyen di sini pada Khamis.

Mayat Rainol Majangkir, 37, ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 2 petang sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Zairolnizal Ishak berkata, sepasukan polis bersama pegawai perubatan dikejar ke lokasi kejadian dan mangsa disahkan telah meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Kota Marudu.

"Pemeriksaan fizikal oleh pegawai perubatan tidak menemui sebarang kesan kecederaan dan mangsa dipercayai diserang sawan sebelum terjatuh ke dalam parit.

"Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati dalam keadaan tergigit lidah dan kejang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Hasil siasatan lanjut, Zairolnizal berkata, mangsa merupakan seorang OKU kategori masalah pembelajaran dan mempunyai sejarah penyakit sawan sejak kecil.

"Abang mangsa mengesahkan mayat yang ditemui merupakan ahli keluarganya dan menurut keterangan awal, hampir setiap hari adiknya itu akan keluar merayau berjalan kaki ke Pekan Kota Marudu. Mangsa akan keluar sebelah pagi dan balik ke rumah pada waktu petang.

"Mangsa juga beberapa kali diserang sawan semasa keluar dari rumah dan di pekan. Ketika kejadian, mangsa keluar dari rumah pada jam 8 pagi dengan berjalan kaki ke pekan sebelum ditemui orang awam di dalam parit terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Zairolnizal berkata, tiada sebarang keterangan boleh mengaitkan dengan sebarang unsur jenayah.

"Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!