Rakyat kembali sokong UMNO

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Memasuki tahun kedua UMNO menjadi pembangkang, sokongan rakyat khususnya kaum Melayu Bumiputera dilihat kembali semula kepada parti tersebut.

Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, kerjasama antara UMNO dan Pas juga menjadi sebab parti itu kembali mendapat sokongan Melayu dan India.

"Dianggarkan peratusan sokongan kaum Melayu kepada dua parti itu adalah 70 hingga 80 peratus setakat ini.

"Kita hanya perlu tarik sikit sahaja lagi iaitu dalam 20 peratus untuk turut menyokong UMNO dan Pas. Selain sokongan India juga semakin bertambah.

“Namun, UMNO perlu memperbanyakkan lagi usaha memastikan sokongan dari kaum Cina dapat diraih semula,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Lokman berkata, sokongan kaum Cina ketika ini masih kuat bersama kerajaan PH kerana mereka selesa mendapat pelbagai keistimewan dan kelebihan yang diberikan barisan pimpinan kerajaan yang ramai daripada mereka adalah berbangsa Cina.

“Ramai daripada mereka (pemimpin PH Cina) menjadi ahli Parlimen khususnya dalam jawatan menteri dan Kabinet kanan.

“Namun, saya yakin lambat laun, mereka yang masih menyokong itu akan kembali kepada UMNO apabila melihat kegagalan kerajaan PH,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjasama UMNO dan Pas, Lokman berkata, kerjasama itu perlu dipertingkatkan seolah-olah Pilihan Raya Umum (PRU) akan berlaku tahun ini.

“Sewajarnya, UMNO dan Pas menjadi juara dalam memperjuangkan nasib kaum Bumiputera dan dalam masa sama kita hormati hak kaum India dan Cina,” jelasnya.

Tambahnya, UMNO perlu bergerak secara berpasukan untuk mengukuhkan lagi parti tersebut.

“Tekanan oleh sesetengah pemimpin UMNO kepada kerajaan PH masih belum cukup kuat, sepatutnya dilakukan secara berpasukan.

“Setiap kenyataan atau desakan harus disokong oleh seberapa ramai ahli dan pihak-pihak lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!