Tentera Ukraine makin mara
BRUSSELS - "Tentera Ukraine berjaya menembusi pertahanan pasukan musuh dan membuat kemajuan di bawah operasi serangan balas dilancarkan mereka."
Perkembangan konflik Moscow-Kiev itu diumumkan Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg pada Khamis.
“Tentera Ukraine berhasil merampas semula kawasan ditawan Rusia secara berperingkat. Ia menunjukkan kepentingan sokongan kami. Ia adalah pertempuran yang sengit dan mencabar tetapi, mereka semakin mara,” ujarnya.
Sejak beberapa hari lalu, Kiev dikatakan telah memecahkan kubu pertahanan musuh paling kuat di bahagian selatan negara itu setelah ia menerima bekalan senjata dihantar anggota NATO.
Bagaimanapun, Ukraine mengakui operasi tersebut agak perlahan dan mengambil masa selama beberapa bulan.
Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan ia akan menghantar peluru uranium depleted (DU) kepada Kiev sebagai sebahagian daripada bantuan ketenteraan berjumlah lebih AS$1 bilion (RM4.68 bilion) yang diumumkan Washington.
Difahamkan, peluru 120mm itu akan digunakan kereta kebal MI Abrams yang akan dihantar kepada Ukraine sebelum akhir tahun ini.
DU yang dihasilkan melalui proses pengayaan nuklear merupakan antara senjata paling kontroversi kerana didakwa ada kaitan dengan masalah kesihatan seperti barah dan kecacatan kelahiran di kawasan yang menjadi sasarannya.
Penggunaannya tidak dikenakan larangan di bawah undang-undang antarabangsa.
Kremlin bagaimanapun mengkritik keputusan AS yang dikhuatiri memburukkan lagi konflik Rusia-Ukraine.
“Ia adalah khabar buruk buat semua. Penggunaan DU telah menyebabkan peningkatan jumlah pesakit barah. Keadaan sama pasti akan berlaku di Kiev. AS bertanggungjawab atas tindakan mereka,” kata jurucakapnya, Dmitry Peskov. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!