Penawaran harga antara pengilang, petani punca beras mahal
SHAH ALAM - Penawaran harga beras yang berbeza-beza antara petani, pengilang, pemborong dan peruncit menyebabkan ketidaktentuan nilai barangan keperluan itu di pasaran.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ia berlaku terutama antara pengilang dan petani yang mana pembelian padi didapati dua kali ganda tinggi berbanding Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
"Jika di peringkat petani, pengilang terpaksa membeli beras atau padi daripada petani, Bernas menawarkan sebanyak RM1,350 per tan metrik.
"Tetapi wujud kilang-kilang membeli dengan harga yang lebih mahal iaitu RM1,750 per tan metrik, perbezaannya adalah RM400. Jadi petani akan memilih pengilang dengan penawaran yang lebih tinggi.
"Jika melibatkan orang tengah pula apabila sampai ke pintu kilang, harga menjadi RM2,700 per tan metrik manakala sekilogram (kg) RM2.70 dan 10kg pula RM27," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program (SINAR LIVE) bertajuk Siapa dalang beras mahal? yang dihoskan oleh Haizir Othman.
Tambah Mohamad Yusrizal, susulan itu, ia memberi kesan kepada peruncit yang terpaksa membeli dengan harga yang agak tinggi.
Menurutnya lagi, terdapat pihak yang didakwa pengilang menggunakan taktik 'tukar baju' demi mengaut keuntungan.
"Jadi kita lihat di sini bahawa kapasiti bekalan beras negara mencukupi iaitu 70 peratus tetapi masalah harga di antara petani dan pengilang, pemborong dan peruncit.
"Justeru, situasi yang tidak terkawal itu membuatkan ada pihak mengambil kesempatan untuk menggunakan taktik tukar baju (menukar bungkusan yang mengandungi beras tempatan kepada bungkusan beras import untuk mengaut keuntungan) dan menjual dengan harga yang lebih tinggi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!