Trend tiru watak permainan digital untuk dapat gift seperti pengemis moden

TikTok
TikTok
A
A
A

TIKTOK kini merupakan salah satu daripada media sosial berpengaruh dengan jumlah pengguna seluruh dunia pada suku kedua 2023 sebanyak 1.7 bilion.

Merak Jalanan bukan pengguna tegar TikTok tetapi sesekali sempat juga membukanya untuk melihat perkembangan semasa dan perkongsian orang ramai.

Terbaharu, trend meniru non-player character (NPC) atau watak bukan pemain menerusi siaran langsung di TikTok yang bermula di Jepun dan Amerika Syarikat mula menjadi ikutan pengguna di Malaysia.

Dalam bahasa mudah, ia adalah watak dalam permainan digital atau animasi tidak boleh dimainkan tetapi hanya bergerak, bercakap dan berinteraksi dengan pemain berdasarkan apa yang telah diprogramkan.

Ramai mula meniru pelbagai watak dengan tidak bercakap dengan mereka yang menonton siaran langsung dan hanya berinteraksi berdasarkan gift (hadiah) TikTok yang diberikan oleh penonton.

Jika bunga diberikan maka reaksinya berkaitan bunga, begitu juga dengan bola, minyak wangi dan nasi lemak.

Setiap gift yang diberikan mempunyai nilai yang boleh ditukar dalam bentuk wang dan difahamkan ada menerima ribuan ringgit dengan hanya satu siaran langsung.

Jadi tidak hairanlah jika ramai teruja untuk berbuat demikian kerana apa yang dilakukan mendapat habuan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian Merak Jalanan di ruangan komen serta ulasan pengguna media sosial, ramai berpendapat mereka yang terlibat dengan NPC keterlaluan seolah-olah terlalu terdesak untuk dikenali, ditularkan dan mencari wang.

Tidak kurang juga ada yang melontarkan komen menyifatkan NPC sama seperti peminta sedekah versi moden.

Mungkin ini cara generasi baharu berhibur, namun nasihat Merak Jalanan, jangan keterlaluan hingga melampaui batas dan menormalisasi perkara yang bertentangan dengan adat kita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!