UCAM buka laluan kepada lepasan SPM sambung belajar
SHAH ALAM - Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) membuka laluan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang dalam peperiksaan itu namun mempunyai minat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Pusat pengajian yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu merupakan antara pempamer terlibat dalam Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang akan membuka tirainya secara rasmi pada Jumaat.
Pegawai Pemasaran UCAM, Khairul Asni berkata, pelajar yang tidak berjaya menempatkan diri di Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) boleh memohon untuk mengikuti kursus yang disediakan oleh UCAM.
Menurutnya, mereka hanya perlu membawa keputusan SPM ketika mengunjungi reruai UCAM di Karnival Pendidikan Sinar Bestari bagi memudahkan sebarang urusan dan semakan.
“Kami mengambil bahagian dalam karnival ini untuk menguar-uarkan mengenai UCAM kepada orang ramai terutamanya buat mereka yang ingin menyambung pengajian ke peringkat universiti namun tidak mendapat peluang tersebut.
“Di UCAM kami menawarkan pelbagai kursus antaranya program perakaunan, keusahawanan, perniagaan Agri, landskap, pengurusan ternakan, sains komputer dan kursus kemahiran. Pelajar hanya memerlukan sekurang-kurangnya tiga kredit sahaja untuk diterima masuk,” katanya ketika ditemui pada Khamis.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang akan berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini diadakan selama tiga hari bermula 8 September hingga 10 September 2023.
Sebanyak 100 pempamer terlibat dengan lebih 50 aktiviti menarik menanti pengunjung.
Khairul berkata, menerusi karnival tersebut pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung yang datang ke reruai UCAM.
“Antara aktiviti yang disediakan adalah beberapa siri ujian minda seperti meneka kacang dan menjawab soalan. Mereka yang berjaya akan mendapat hadiah menarik daripada kami.
“Saya berharap orang ramai tidak akan melepaskan peluang untuk mengunjungi karnival ini dan datang ke reruai kami kerana pelbagai pendedahan akan diberikan kepada pengunjung,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!