Sabah dapat tonik Piala Malaysia, Piala AFC di Brunei
SABAH FC tetap tampil garang tanpa beberapa tonggak utama yang mendapat panggilan semboyan negara Harimau Malaya apabila menjinakkan Brunei Darussalam 3-1 dalam perlawanan persahabatan di Kompleks Sukan Hassanal Bolkiah pada Rabu.
Gol The Rhinos dalam perlawanan itu dijaringkan tonggak import dari Brazil Ramon Machado pada, minit ke-12 selepas menyempurnakan sepakan penalti untuk memimpin separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, Brunei Darussalam kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan Adi Said pada minit ke-56 bagi kedudukan 1-1.
Sabah yang tidak mengalah kembali mempamerkan karakter melawan akhirnya tampil dengan dua gol dijelmakan Jafri Firdaus Chew (m-69) diikuti sentuhan pemain muda skuad Sabah Bawah 23 (B-23), Mohd Sappie Ashri (m-81).
"Saya harap kedua-dua pasukan baik Brunei Darussalam dan Sabah FC, mendapat input yang diperlukan dalam perlawanan persahabatan ini.
"Kita tahu Brunei Darussalam dalam persiapan mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026.
"Sabah juga tidak terkecuali bagi persediaan untuk Piala Malaysia khasnya Piala AFC serta baki saingan Liga Super," kata pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee.
Sebagai rekod, Sabah pimpinan Kim Swee akan menentang juara lapan kali Piala Malaysia Perak FC dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu yang bermula jam 8.15 malam pada 15 September.
Timbal balik kedua meyaksikan Sabah berkunjung ke laman The Bos Gaurus kendalian Yusri Che Lah di Stadium Perak, Ipoh bagi aksi jam 9 malam pada 25 September.
Bagi saingan Piala AFC, Sabah yang diundi dalam Kumpulan H, bersama-sama Hải Phòng FC dari Vietnam dan PSM Makassar (Indonesia) akan menyingkap kempen berdepan kelab Singapura Hougang United FC di Stadium Likas Kota Kinabalu, pada 21 September.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!