'Anwar sanggup korbankan prinsip perjuangan sebelum ini' - Azmin
MUAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa sanggup mengorbankan prinsip perjuangannya sebelum ini apabila bersekongkol dengan UMNO.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata,
tindakan tersebut amat bertentangan dengan apa yang dilaung dan diperjuangkan Anwar semasa belum diangkat sebagai Perdana Menteri.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mempersoalkan mengapa penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) masih membisu.
"Mana penyokong-penyokong PH, mana Lim Guan Eng, mana Mat Sabu, dia sedang sibuk naik lembu, orang naik kuda dia naik lembu.
"Di mana prinsip perjuangan, kita dalam perjuangan mesti ada prinsip, berpegang kepada prinsip, tolak rasuah, tolak perompak dan tolak perasuah tetapi kerana aku ingin menjadi Perdana Menteri, aku sanggup korbankan prinsip dan perjuangan, aku angkat perasuah jadi Timbalan aku.
"Sampai bila kita nak diperbodohkan, cukuplah, saya ajak rakan-rakan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN), saya pun sayang ramai ahli UMNO Johor termasuk dalam dewan ini, ayuh, masa depan Islam dan Melayu, insya-ALLAH akan dijamin PN dan bukannya Pakatan Harapan, UMNO dan BN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Grand Finale Perikatan Nasional N13 Simpang Jeram di SBJ Ballroom, Kampung Parit Keroma Darat di sini pada malam Khamis.
Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Terbaharu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada ketiga-tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta yang dihadapi mereka.
Azmin berkata, Anwar kini bukan sahaja tidak lagi seperti dahulu sebaliknya kini sanggup bekerjasama dengan pemimpin terpalit kes rasuah semata-mata mahu menjadi Perdana Menteri.
"Anwar sebelum ini ajar kita lawan dengan rasuah, hari ini berdakap dengan perasuah. Dia janji dengan Bangsa Johor, dia janji dengan rakyat Johor dan dia ajak kita pergi jalanan lawan kleptokrat dan lawan perasuah.
"Hari ini beliau berdakap dan berpeluk dengan perasuah, (kita akan) pasti lawan Anwar Ibrahim," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu.
Beliau berkata, perkara itu tidak seperti di Singapura apabila Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong amat tegas dan tidak berkompromi dengan jemaah menterinya yang terlibat kes rasuah.
"Saya bagi contoh yang tak jauh dari Pulai dan tak jauh dari Simpang Jeram, dua bulan lepas di Singapura, ada seorang menteri dalam Kabinet Singapura yang baru dikatakan ada amalan rasuah dan salah guna kuasa.
"Dia belum didakwa dan mahkamah belum menjatuhkan hukuman prima facie, baru disiasat, tapi Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dengan tegas mengeluarkan kenyataan, oleh kerana kamu menteri aku dan kamu sedang disiasat, maka gantung tugas kamu sehingga selesai penyiasatan. Ini baru betul," katanya.
Menurutnya, situasi itu berbeza di Malaysia yang melaungkan Malaysia Madani tetapi tindakannya tidak selari dengan apa yang diperjuangkan konsep tersebut.
Tambah Azmin, adalah tidak masuk akal seorang yang berdepan 47 pertuduhan diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri dan semua kesnya digugurkan begitu sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!