Takaful Malaysia beri makanan berkhasiat kepada 1,000 pelajar asnaf
Pengagihan makanan berkhasiat sempena Program Di Hatiku Student Food Aid
SHAH ALAM - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan makanan berkhasiat kepada 1,000 pelajar asnaf di 10 sekolah rendah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dikenali sebagai Program Di Hatiku Student Food Aid ini selaras dengan agenda CSR dan kemampanan Takaful Malaysia dalam pembangunan bangsa dan meningkatkan kesihatan, keadaan fizikal dan nutrisi pelajar yang kurang bernasib baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal, berkata, program bantuan makanan ini adalah untuk memenuhi tanggungjawab pihaknya sebagai sebuah institusi kewangan Islam dalam mengagihkan Zakat kepada penerima asnaf yang layak.
"Sebagai menyokong usaha kerajaan, kami berhasrat untuk mencipta nilai mampan dalam komuniti setempat melalui program ini dengan menyediakan makanan berkhasiat setiap hari dan menambah baik pengambilan malnutrisi di kalangan pelajar yang kurang bernasib baik.
"Tanggungjawab dan komitmen kami adalah untuk membantu kerajaan dalam menangani masalah malnutrisi dengan memperkasakan kanak-kanak dengan makanan sihat. Ini juga selaras dengan semangat takaful iaitu membantu satu sama lain terutama golongan yang memerlukan,"katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, Takaful Malaysia menjalankan tanggungjawab dan menjadi warga korporat yang baik dengan membantu dan memperkasakan generasi muda melalui makanan nutrisi.
"Menyedari betapa pentingnya pelajar asnaf dari keluarga berpendapatan rendah mendapat akses makanan seimbang di sekolah, kami mengambil keputusan untuk memulakan usaha ini dan menghulurkan bantuan.
"Justeru, kami bekerjasama rapat dengan KPM, pentadbir sekolah terpilih dan pengusaha kantin untuk mengurus dan melaksanakan program bantuan makanan dengan baik,"katanya.
Nor Azman berkata, setiap pelajar asnaf terpilih dibekalkan dengan set kotak makan tengah hari lengkap dimana pemilihan menu harian adalah berdasarkan piramid makanan untuk kanak-kanak yang terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan sumber protein yang bersesuaian dengan keperluan pelajar asnaf.
"Kami juga menyediakan kanak-kanak dengan botol air untuk menggalakkan mereka minum lebih banyak air dan kekal terhidrat.
"Program Di Hatiku Student Food Aid Takaful Malaysia menyokong Matlamat Pembangunan Mampan untuk membasmi malnutrisi dan memastikan akses tetap terutamanya kepada asnaf dan kanak-kanak kurang bernasib baik, kepada makanan berkhasiat dan mencukupi untuk pertumbuhan dan perkembangan normal serta kehidupan yang sihat.
"Meletakkan senyuman di wajah kanak-kanak dan melihat mereka menikmati hidangan adalah ganjaran terbaik. Kami gembira kerana program bantuan makanan ini mendapat sambutan positif dan memberangsangkan dan berharap akan terus memberi manfaat kepada pelajar asnaf,"katanya.
Program Di Hatiku Student Food Aid Takaful Malaysia dilancarkan pada Julai 2023 dimana Takaful Malaysia membekalkan set makanan harian kepada pelajar asnaf yang layak daripada keluarga berpendapatan rendah di sekolah masing-masing. Program ini dijadualkan berlangsung sehingga Februari 2024 bagi tahun akademik sekolah 2023/2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!