Sanusi dakwa wujud 'tangan ghaib' kes Ahmad Zahid, Bung Moktar

Tangkap layar video yang dimuat naik Muhammad Sanusi di laman Facebooknya pada Khamis malam.
Tangkap layar video yang dimuat naik Muhammad Sanusi di laman Facebooknya pada Khamis malam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram digesa menggunakan kuasa mereka pada Sabtu ini untuk menamatkan kegagalan tadbir urus yang berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, isyarat itu penting terutama melibatkan keputusan kes mahkamah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin serta isterinya Datin Seri Zizie Izette A Samad yang didakwa wujud campur tangan 'tangan ghaib' dalam proses pendakwaan.

"PRK Pulai dan DUN Simpang Jeram akan menjadi petunjuk sama ada pengundi boleh menerima keputusan campur tangan 'tangan ghaib' dalam proses pendakwaan kes Ahmad Zahid dan Bung Mokhtar serta isterinya kerana kedua-dua kes itu ada kes prima facie malah sudah di peringkat bela diri, namun tiba-tiba ada arahan untuk ditarik dan digugurkan.

"Arahan 'tangan ghaib' itu bukan hanya membuang masa mahkamah dan pasukan penyiasatan malah rakyat menyaksikan episod sedih duka lara dalam tadbir urus pemerintahan Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam video berdurasi 6 minit 37 saat yang dimuat naik dalam akaun Facebooknya pada Khamis malam.

Menteri Besar Kedah itu memberitahu beliau kini mempunyai tugasan rasmi di Mesir bagi meninjau pelajar Kedah yang belajar di negara itu.

Dakwa beliau lagi, ketempangan tata kelola dan tadbir urus Kerajaan Perpaduan turut berlaku selepas kegagalan mengawal selia harga beras berikutan keceluparan menteri yang diberi tanggungjawab menjaga sektor makanan rakyat.

"Kerajaan Perpaduan, PH kini turut dihambat isu kenaikan harga makanan utama beras.

Artikel Berkaitan:

"Kenaikan mendadak harga beras (import) adalah kerana keceluparan orang yang bertanggungjawab untuk menguruskan sektor bekalan beras yang mengumumkan beras import tidak dikawal, menyebabkan ia naik harga dan dijual kepada RM39 (bagi kampit 10 kilogram).

"Maka kartel yang menyimpan beras tempatan juga menukar pembungkus menjadikan beras tempatan sebagai beras import untuk dijual pada harga RM39, padahal beras tempatan adalah barang kawalan yang dijual pada harga RM24 (kampit 10 kg) sebelum ini kini turut naik kepada RM29," katanya.

Justeru, Mohamad Sanusi meminta pengundi Pulai dan Simpang Jeram menyelamatkan negara.

"Mari kita selamatkan Malaysia dengan mengundi PN. Jangan takut, jangan bimbang, PN dibarisi tokoh berwibawa dan penuh integriti," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!