Melaka sedia insentif kepada penerbangan komersial operasi di LTAM
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, justeru, kerajaan negeri bersedia menawarkan insentif kepada mana-mana syarikat penerbangan komersial yang ingin beroperasi di LTAM.
"Saya sudah adakan mesyuarat dengan enam syarikat penerbangan termasuklah AirAsia yang sebelum ini beroperasi di LTAM, namun masih tiada petunjuk positif sehingga kini kerana isu utama ialah jumlah penumpang tidak tinggi pada hari biasa, malah tidak sampai separuh daripada kapasiti pesawat sedangkan kos operasi adalah tinggi.
"Jadi, mereka terpaksa hentikan penerbangan. Kita (kerajaan negeri) akan cuba sediakan insentif memandangkan kehadiran pelancong dijangka bertambah bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 nanti," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu pada Program Dialog 1.30 di MELAKAfm, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) di sini pada Jumaat.
Hameed Mytheen berkata, antara usaha lain yang dilakukan kerajaan negeri untuk menghidupkan LTAM adalah menerusi penganjuran Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) dari 29 Sept hingga 1 Oktober ini.
"Setakat ini, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa dari Australia, Rusia, Thailand dan Singapura sudah mengesahkan penyertaan di samping agensi tempatan seperti tentera, polis dan bomba," katanya.
Media sebelum ini melaporkan kekecewaan orang ramai terutama pemain industri pelancongan di Melaka apabila LTAM menghentikan operasi pesawat komersial sejak bulan lepas, dengan kali terakhir penerbangan ke Pulau Pinang adalah pada Jun manakala dari Pekan Baru, Indonesia pada 16 Ogos. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!