My Mobile Planetarium bawa pengunjung rasai kehidupan 2085
SHAH ALAM - My Mobile Planetarium membawa pengunjung menyaksikan perjalanan ke angkasa dan kehidupan masa depan tahun 2085 menerusi space dome sebagai platform pembelajaran sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari.
Pengarah Urusan, Intelligent Education Sdn Bhd (My Mobile Planetarium), Nik Nahitun Nisha berkata, platform space dome yang berkonsepkan animasi 3D dengan tayangan video 360 darjah membantu pelajar menggunakan imaginasi bagi meningkatkan perkembangan kognitif mereka.
Menurutnya, program karnival pendidikan merupakan medan terbaik kepada masyarakat untuk mengenali sains dan kehidupan dengan lebih dekat sekali gus dapat mempelajari sesuatu yang berbeza dari dalam bilik darjah.
“Pengunjung yang datang ke reruai kami memang teruja dan mereka seronok melihat tayangan di dome space pada hari ini.
“Kita bawakan pengunjung melihat kehidupan manusia di bumi pada tahun 2085 dan juga pembangunan masyarakat di bulan pada masa depan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 September ini bakal menampilkan pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik kepada pengunjung.
Bermula jam 9 pagi hingga 7 malam, ia terbuka kepada semua pengunjung secara percuma bagi merasai sendiri pengalaman pendidikan digital selaras dengan tema karnival iaitu Memacu Pendidikan Generasi Digital.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!