PRK Pulai: Medan terbaik beri mesej ketidakpuasan hati kepada kerajaan
ALOR SETAR - Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor menjadi medan terbaik buat rakyat menyampaikan mesej ketidakpuasan hati kepada kerajaan pada hari ini dengan memilih calon daripada Perikatan Nasional (PN).
Ketua Pemuda Parti Gerakan, Wong Chia Zhen mendakwa Malaysia sedang mengalami krisis undang-undang selepas rakyat terkejut apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram pada Isnin.
Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Kedah turut mendakwa rakyat sekali lagi terkejut apabila Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad juga dilepas dandibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan rasuah pada Khamis.
"Sekiranya sesuatu perlu dibuat untuk menghantar mesej ketidakpuasan hati, pilihan raya kecil ini sangat instrumental dalam hal ini (kepada rakyat). Saya minta kepada pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Pulai dan kawasan DUN Simpang Jeram, terutamanya kaum Cina untuk membuat keputusan yang betul.
"Rakyat adalah bos, apabila pekerja sudah buat salah, pengajaran mesti diberi. Bukan untuk menghukum tetapi dengan hasrat pencapaian yang lebih baik pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah itu lagi, kenyataan tersebut dikeluarkan bukan sebagai seorang pemimpin daripada blok pembangkang tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia yang sayangkan negara.
Jelasnya, amat menyedihkan bagi sebuah gabungan politik yang menunjangi reformasi tetapi kini membenarkan kejadian yang didakwa sebaliknya telah berlaku.
"Tidak ada seorang daripada Pakatan Harapan yang menyoal tentang perkara ini sedangkan rakyat tahu.
"Pakatan Harapan memberitahu pengundi Cina, kerjasama dengan UMNO adalah untuk membendung kebangkitan gelombang hijau, PN bersamaan dengan 'chief of all evils', tidak ada siapa-siapa yang lebih teruk daripada mereka. Hakikatnya, segala prinsip telah dikompromi oleh kerajaan yang ada sekarang," dakwanya lagi.
Chia Zhen yang juga Timbalan Ketua Pemuda PN berkata, selain perubahan kosmetik daripada segi kod pakaian, peraturan konsert, jaminan-jaminan kosong, beliau masih belum nampak ada penambahbaikan dalam aspek tata kelola dan dasar yang memanfaatkan rakyat.
"Saya tahu dalam kalangan masyarakat Cina, tidak ramai memberi sokongan kepada PN. Tetapi saya perlu bersuara atas isu ini kerana perkara ini sangat menimbulkan keraguan terhadap keupayaan kerajaan sedia ada," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!