Negeri Sembilan berduka kemangkatan Tunku Ampuan Najihah

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (lima dari kanan) berkenan menziarahi jenazah Tunku Ampuan Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin di Istana Nurul Jannah pada Jumaat. - Foto: Bernama
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (lima dari kanan) berkenan menziarahi jenazah Tunku Ampuan Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin di Istana Nurul Jannah pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Rakyat Negeri Sembilan berduka di atas kemangkatan bekas Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tunku Ampuan Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin hari ini pada usia 100 tahun, yang sangat dekat di hati mereka.

Tunku Ampuan Najihah menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.53 pagi tadi, di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur.

Bekas Tunku Ampuan Negeri Sembilan itu juga adalah Raja Permaisuri Agong kepada Yang di-Pertuan Agong ke-10 Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman yang menduduki takhta negara pada 1994 hingga1999.

Almarhumah Tunku Najihah diputerikan pada 1 September 1923 di Seri Menanti, Kuala Pilah dan mendapat pendidikan awal di Tengku Mohamad School Kuala Pilah sebelum melanjutkan pelajaran tinggi di School Of Oriental and African Studies, London.

Baginda mendirikan rumah tangga bersama Tuanku Jaafar pada 8 Ogos 1942 dan dikurniakan tiga putera serta tiga puteri.

Tuanku Jaafar mangkat pada 2008 ketika berusia 86 tahun.

Tunku Najihah dikenali sebagai seorang permaisuri yang aktif dan meminati sukan serta pernah menjadi penaung beberapa persatuan termasuk Presiden Pasukan Badminton Tunku Ampuan, Penaung Pasukan Hoki Wanita Malaysia, Penaung Persatuan Golf Wanita Malaysia dan Penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Baginda juga pernah menjadi Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Artikel Berkaitan:

Almarhumah menerima Anugerah Tun Fatimah ‘Srikandi Negara’ pada 1999.

Baginda turut dikenali sebagai ‘Lady with a Heart of Gold’ berikutan penglibatan dalam membantu golongan miskin, tidak berkemampuan dan kurang bernasib baik.

Atas jasa Almarhumah, beberapa tempat di Negeri Sembilan telah dinamakan sempena nama baginda termasuk Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Yayasan Tuanku Najihah dan Rumah Kanak-kanak Tuanku Najihah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!