Laporan runtuhan batu kuari siap dalam tempoh sebulan

Sivanesan (kiri) meninjau lokasi kejadian runtuhan batu kapur yang menimpa pekerja kuari di Keramat Pulai dekat Simpang Pulai pada Jumaat.
Sivanesan (kiri) meninjau lokasi kejadian runtuhan batu kapur yang menimpa pekerja kuari di Keramat Pulai dekat Simpang Pulai pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Laporan penuh kejadian runtuhan batu kapur yang mengorbankan seorang pemandu jengkaut di sebuah tapak kuari di Keramat Pulai dekat Simpang Pulai, Selasa lalu dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan berkata, siasatan awal mendapati prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian kuari dipatuhi oleh syarikat terlibat.

"Kita perlu tempoh antara tiga hingga empat minggu untuk siapkan laporan penuh. Berdasarkan siasatan awal, terdapat empat pekerja dan salah seorang daripada mereka menjadi 'spotter' telah mengesan pergerakan batu kecil.

"Amaran diberikan dengan menggunakan walkie talkie kepada tiga pekerja lain di bawah. Difahamkan mereka berjaya keluar daripada jentera dan berlari ke tempat selamat, namun mangsa telah berpatah balik sebelum batu-batu berkenaan menimpa mangsa dan tiga jentera lain.

"Berdasarkan laporan ini, SOP dipatuhi dengan amaran awal diberikan kepada pekerja," katanya ketika melawat lokasi kejadian di sini pada Jumaat.

Hadir sama Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Dr Rabaayah Daud.

Tiga jentera yang digunakan mangsa dan dua pekerja lain rosak ditimpa runtuhan batu kuari ketika kejadian, Selasa lalu.
Tiga jentera yang digunakan mangsa dan dua pekerja lain rosak ditimpa runtuhan batu kuari ketika kejadian, Selasa lalu.

Menurut beliau, terdapat 63 kuari beroperasi di seluruh negeri dengan sembilan kejadian maut dilaporkan dalam tempoh tujuh tahun.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat dua kemalangan maut dilaporkan pada tahun 2017, 2019 dan 2022 manakala bagi 2023 dalam tempoh bermula Januari sehingga kini, tiga kes maut telah dicatatkan.

"Kilang ini beroperasi seperti biasa, tiada arahan tutup dikeluarkan. Bagaimanapun kita menunggu laporan penuh sebelum tindakan lanjut diambil," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang pekerja warganegara Pakistan yang dikenali Sohail Sajjad, 36, maut akibat ditimpa runtuhan batu kapur.

Dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, mangsa dipercayai berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal di dalam jengkaut tersebut.

Lokasi kejadian itu berlaku di bukit yang sama dengan jarak kira-kira 3 kilometer dalam insiden runtuhan mengorbankan dua warga tempatan pada 8 Mac tahun lalu.

Dua mangsa warga tempatan maut selepas tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari sebelum dijumpai enam bulan kemudian berikutan penemuan cebisan tulang rangka dan bangkai jengkaut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!