Kedutaan pantau, perbetul persepsi keselamatan makanan Jepun

Yosuke Kurotani
Yosuke Kurotani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak kedutaan Jepun di Malaysia akan terus berkongsi maklumat bagi memastikan pemahaman tepat mengenai fakta pelepasan air radioaktif dirawat dari loji nuklear Fukushima Daiichi ke lautan serta keselamatan makanan dan eksport dari negara itu.

Setiausaha Pertama Yosuke Kurotani berkata, ini penting bagi memastikan restoran-restoran Jepun di Malaysia turut berkongsi maklumat mengenai keselamatan sajian masing-masing ketika mempromosi perniagaan, di tengah-tengah kebimbangan semasa berkaitan pelepasan air dirawat dalam Sistem Pemproses Cecair Lanjutan ALPS).

"Walaupun tidak menerima sebarang makluman mengenai kelewatan atau halangan serius terhadap eksport makanan Jepun ke Malaysia pada masa ini, kami akan terus memantau isu ini dengan teliti.

"Kami juga telah memberi maklumat dan penjelasan kepada kerajaan Malaysia mengenai pelepasan air rawatan ALPS ke lautan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual, baru-baru ini.

Karutoni turut memberi jaminan bahawa pihak kedutaan itu akan terus menyalurkan maklumat berdasarkan bukti saintifik secara jujur dan telus.

"Pada masa sama, penyebaran dakwaan tanpa bukti saintifik telah mencetuskan kebimbangan tidak berasas dan memburukkan lagi reputasi yang terjejas terhadap makanan Jepun,” katanya.

Maklumat Kementerian Kewangan Jepun menunjukkan eksport produk pertanian, perhutanan, perikanan dan makanan ke Malaysia berjumlah mencecah 8.8 bilion yen (RM280 juta) bagi tempoh Januari-Jun 2023 dan 23.4 bilion yen (RM741 juta) bagi keseluruhan tahun 2022.

Lima eksport utama Jepun ke Malaysia pada 2022 merangkumi minuman beralkohol pada 1.5 bilion yen (RM46 juta), susu tepung (1.4 bilion yen/RM46 juta), daging lembu (1.3 bilion yen/RM43 juta), tepung gandum (1.2 bilion yen/RM38 juta) dan minyak biji sesawi dan sawi pada 0.9 bilion yen/RM29 juta.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, eksport makanan laut, termasuk yang diproses dan tidak termasuk ikan hiasan, ke Malaysia berjumlah 3.5 bilion yen (RM111 juta) pada 2022.

Laman sesawang Tokyo Electric Power Company Holdings (TEPCO) menyatakan air rawatan ALPS akan diproses dan dibersihkan semula sehingga menepati sepenuhnya standard keselamatan, kecuali tritium, sebelum dilepaskan ke lautan.

TEPCO merupakan pengendali loji tenaga nuklear Fukushima yang musnah akibat tsunami besar pada 2011.

Bahan radioaktif tritium dilepaskan selepas dicairkan dengan air laut pada tahap kepekatan di bawah 1,500 becquerel seliter (Bq/L), di bawah had peraturan keselamatan kerajaan Jepun sebanyak 60,000 Bq/L dan garis panduan kualiti air minuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 10,000 Bq/L.

Kerajaan Jepun dan TEPCO juga melaksanakan beberapa pusingan pemantauan ke atas aspek terbabit.

Jepun telah bertindak melepaskan air radioaktif yang dirawat dari loji tenaga Fukushima pada 24 Ogos lepas yang disusuli dengan tindakan kerajaan China, Hong Kong dan Macau mengharamkan import makanan laut dari negara itu.

Pada masa sama, Malaysia turut bertindak memantau secara teliti berkaitan impak ke atas keselamatan makanan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!