UMNO dalam peralihan fasa dua

Syed Mohd Johan
Syed Mohd Johan
A
A
A

ALOR SETAR - Fasa pertama UMNO sebagai pembangkang setahun lalu diibaratkan terumbang-ambing tanpa haluan kerana tiada pengalaman sebagai pembangkang di peringkat Persekutuan.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, persepsi UMNO ketika itu bertambah buruk akibat rentetan kes polis dan rasuah disabitkan dengan pemimpin tertinggi parti.

Menurutnya, ini termasuk pembunuhan karektor terhadap pemimpin UMNO, bertelagah sesama sendiri sehingga lompat parti, krisis kepimpinan baharu serta tewas empat Pilihan Raya Kecil (PRK) berturut-turut.

“Pengambilalihan tugas Presiden oleh Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi ‘game changer’ buat UMNO, kerana akar umbi dan rakyat lebih menerima beliau.

"Pakatan pembangkang menjadi lebih ampuh dengan kerjasama Pas, sehingga tiga PRK berikutnya menjadi signal penerimaan rakyat,” katanya.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, ditambah pula prestasi kerajaan yang disifatkan kurang memuaskan, menyebabkan prestasi UMNO sebagai pembangkang semakin berkesan.

“UMNO memainkan peranan sebagai ‘check and balance’ berdasarkan pengalaman lalu sebagai kerajaan, selain tidak pernah ketepikan hak dan ketuanan institusi beraja, agama Islam dan bahasa Melayu,” katanya.

Menurutnya, ada hikmahnya UMNO tewas PRU14 kerana menjadi cermin terbaik untuk rakyat menilai UMNO adalah pemerintah terbaik dan holistik berbanding kerajaan PH.

Artikel Berkaitan:

“Watak pembangkang kini berlandaskan fakta, didokong usaha Datuk Seri Najib Tun Razak dengan fenomena Bossku menempelak kesilapan kerajaan,” katanya.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, UMNO kini sedang beralih kepada fasa dua, selepas memasuki tahun kedua sebagai pembangkang dengan mengekalkan semangat perjuangan Islam dan Melayu.

“Selama 73 tahun, UMNO mendidik ahlinya menjadi lebih matang dalam politik pemerintahan, fasa seterusnya perlu mendidik mentaliti ahli bahawa kita bukan lagi kerajaan yang mampu bermewah-mewah,” katanya.

Menurutnya, ahli juga harus berubah daripada mentaliti berkhidmat untuk rakyat kepada pengimbang mata dan telinga rakyat.

“Sudah tiba masa, ahli mendukung sepenuhnya proses pemulihan UMNO melalui pelbagai strategi. Berikan kepercayaan kepada pimpinan parti, namun ahli bebas bersuara atau kritikan membina demi kebaikan parti,” katanya.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, parti juga wajar memaksimumkan penggunaan media sosial menyalurkan maklumat dan fakta kepada rakyat selain menepis propaganda fitnah kerajaan PH.

“Bersama kita menjaga maruah dan kedaulatan Islam dan Melayu serta institusi Raja. Berbakti atas semangat ikhlas dalam perjuangan dan berkorban demi memastikan UMNO kembali memerintah bagi membina semula negara ini,” katanya.

Menurutnya, dalam era milineal ini, ahli harus berfikiran terbuka, tidak jumud serta tidak bersifat assabiyah kalangan rakyat.

“Kita harus berpolitik secara matang dan bantu segenap lapisan rakyat tanpa sentimen. Konsep UMNO dari bawah ke atas harus lebih efektif bagi mendapatkan hasil holistik,” katanya.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, ini merupakan pertama kali UMNO diuji dengan menjadi pembangkang selepas PRU14.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!