Harimau Malaya mahu gempur China
SELEPAS kejayaan mengikat Syria pada Rabu lalu, skuad Harimau Malaya menanam tekad untuk cuba meraih satu lagi keputusan positif dalam aksi persahabatan menentang China di Stadium Phoenix Hill, Chengdu pada Sabtu.
Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menegaskan pasukan negara akan turun dengan aksi agresif dan corak menyerang untuk memerangkap pasukan di ranking ke-80 dunia itu.
Malah, beliau juga akan menguji beberapa taktikal berbeza untuk melihat pendekatan yang sesuai menentang pasukan di ranking yang lebih bagus.
"Kami mahu menguji beberapa taktikal lagi dan kami perlu berhadapan pasukan seperti di ranking ke-80 dunia.
"Kami juga ingin tahu di mana kemampuan kami dan dalam masa sama akan terus menggunakan corak menyerang.
"Harimau Malaya perlu mengekalkan karakter agresif dan memberikan cabaran. Kami akan buat sehabis baik untuk memberikan keputusan yang positif kepada peminat bola sepak negara," katanya.
Pada Rabu lalu, skuad Harimau Malaya beraksi dengan baik untuk mengikat pasukan di ranking ke-94 dunia, Syria 2-2 di Stadium East-Town Football Park, Chengdu.
Skuad negara terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan Mardik Mardikian dan Yasin Samia pada separuh masa pertama.
Namun, anak buah Pan-gon melakukan kebangkitan dramatik melalui gol dua pemain gantian, Akhyar Rashid dan Darren Lok untuk memastikan keputusan positif kepada pasukan negara.
Kejayaan mengikat Syria itu juga menyaksikan Harimau Malaya berjaya meraih 1.4 mata FIFA dan sekiranya berjaya mencipta kejutan ke atas China pula akan menyaksikan perubahan agak ketara kepada ranking pasukan negara yang kini berada di kedudukan ke-136 dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!