Petrosains tawar pakej keahlian keluarga serendah RM100
SHAH ALAM - Petrosains menawarkan promosi pendaftaran keahlian serendah RM100 kepada pengunjung yang hadir ke Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula pada Jumaat.
Eksekutif Pakar Pemasarannya, Azura Abd Lazam, 41 berkata, tawaran tersebut amat berbaloi kerana pendaftaran pakej keahlian keluarga Petrosains kebiasaannya berharga RM140 setahun untuk dua dewasa dan tiga kanak-kanak.
Menurutnya, lebih menarik, pengunjung yang berdaftar di karnival turut dihadiahkan tumbler eksklusif daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
“Banyak kelebihan bagi mereka yang mendaftar sebagai ahli antaranya dapat masuk ke Petrosains secara percuma.
“Memandangkan ini adalah keahlian seluruh negara, ahli juga mendapat manfaat kemasukan percuma itu di mana-mana pusat sains dan muzium dibawah Program Pasport Persatuan Pusat Teknologi,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Selain itu, beliau berkata, reruai Petrosains turut menjual barangan-barangan cenderahati produk jenama tersebut untuk pengunjung.
Antara yang dijual adalah peralatan menulis, buku nota, slime, alat mainan, topi, magnet peti sejuk, baju dan sebagainya.
“Untuk barangan, ada beberapa produk terpilih yang dijual dengan harga promosi dan sudah tentu promosi harga pendaftaran ahli itu juga tidak boleh didapati di kawasan-kawasan luar, eksklusif untuk pengunjung Karnival Pendidikan Sinar Bestari.
“Saya harap program karnival seperti ini harus dibuat bukan sahaja di Kompleks Karangkraf tetapi diperluas ke seluruh negeri, memandangkan sasaran pengunjung karnival ini adalah keluarga dan kanak-kanak jadi ini adalah platform yang bagus untuk kami bertapak,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!