Reruai buah-buahan segar FAMA diserbu pengunjung, pelajar
SHAH ALAM - Buah-buahan segar yang dibawa khas Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke Karnival Pendidikan Sinar Bestari menjadi tarikan kepada pengunjung.
Reruai mereka diserbu pengunjung termasuk pelajar bagi mendapatkan buah-buahan segar yang didatangkan khas dari Pahang.
Pengarah FAMA Selangor (FAMA), Aiada Abdul Rashid berkata, pameran pendidikan memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai penilaian barangan produk hasil pertanian yang berkualiti.
“Perkara ini menjadi salah satu agenda utama menarik minat masyarakat khususnya kanak-kanak untuk makan dan menikmati buah-buahan tempatan yang berkualiti.
“Antara hasil pertanian yang kami bawakan seperti cempedak, rambutan, manggis dan dokong khusus untuk program pada hari ini.
“Saya harap ini merupakan peluang kepada pengunjung melihat tawaran agensi kerajaan terutama FAMA dalam memperkasa produk keluaran tempatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 September ini bakal menampilkan pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik kepada para pengunjung.
Bermula jam 9 pagi hingga 7 malam, ia terbuka kepada semua pengunjung secara percuma bagi merasai sendiri pengalaman pendidikan digital selaras dengan tema karnival iaitu Memacu Pendidikan Generasi Digital.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!